Home » » Kontraktor melecur disimbah asid

Kontraktor melecur disimbah asid

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday 12 August 2014 | 08:50


KAMPUNG RAJA - Seorang kontraktor melecur di muka, badan dan paha kanan selepas disimbah asid oleh dua lelaki tidak dikenali dalam kejadian dekat Kampung Tanah Merah, Kerandang, di sini, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang ketika mangsa berusia 51 tahun berada di kebun berhampiran rumah bapanya.

Menurutnya, sebaik selesai membaja rumput di kebun berkenaan, lelaki terbabit pergi ke motosikalnya untuk pulang ke rumah.

“Tiba-tiba mangsa dihampiri dua lelaki tidak dikenali menaiki motosikal Yamaha 125Z yang bertindak menahan mangsa.

“Pada mulanya suspek dikatakan bertanya kepada mangsa di mana tempat untuk menahan burung dan selepas itu tiba-tiba suspek menyimbah asid ke arah mangsa sebelum melarikan diri,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa yang melecur di badan dan muka menggagahkan diri pulang ke rumah dalam keadaan kesakitan sebelum meminta isterinya memaklumkan bapanya berusia 76 tahun untuk menghantarnya ke Hospital Besut.

Mangsa bagaimanapun dirujuk ke Hospital Universiti Sains Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

“Mangsa yang melecur di muka, bahu dan paha kanan dilaporkan stabil dan siasatan awal, mangsa mendakwa tidak tahu punca diserang malah tidak mengenali dua suspek,” katanya.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian dan usaha memburu suspek giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Sinar Harian difahamkan sebelum kejadian, kereta mangsa disimbah asid sebanyak dua kali oleh individu tidak dikenali.
--SINAR
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger