Home » » Pakatan Pembangkang Ibarat “The Three Stooges” - Ruslan Kassim

Pakatan Pembangkang Ibarat “The Three Stooges” - Ruslan Kassim

Written By Berita Setiap Hari on Sunday, 10 August 2014 | 10:49


KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ruslan Kassim menyifatkan kemelut yang berlaku di dalam pakatan pembangkang antara Dap, PKR dan Pas ini ibarat cerita komedi The Three Stooges, di mana tidak pernah ada persepakatan yang kukuh di antara mereka dan asyik bercakaran sesama sendiri demi menegakkan kepentingan politik peribadi masing-masing.

Menurut beliau, perpaduan di antara DAP, PKR dan Pas hanyalah semata-mata untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sahaja, namun dari segi ideologi dan matlamat perjuangan mereka sama sekali amat jauh berbeza.

“Persepakatan antara mereka ini hanyalah semata-mata satu kosmetik bagi mengelabui mata rakyat untuk menjatuhkan kerajaan BN hari ini. Hari ini, kita dapat lihat Pas dan PKR bertelagah kerana kerusi Menteri Besar. Manakala Pas dan Dap pula sibuk mahu menyaman antara satu sama lain.

“Pemimpin mereka  terutama  Anwar Ibrahim cuba memperlihatkan kononnya ketiga-tiga parti ini mempunyai kesepakatan yang kukuh namun hari ini kita dapat lihat bahawa segala perpaduan antara ketiga-tiga parti yang dicanangkan hanyalah satu lakonan semata-mata.

“Sudah saya katakan sejak dulu lagi, bahawa pakatan pembangkang ini merupakan satu pakatan yang rapuh dan ketiga-tiga parti ini sebenarnya tidak pernah sependapat dan sehaluan dalam banyak perkara dan ianya sudah pun terbukti hari ini,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Justeru itu kata beliau lagi, rakyat sudah tidak boleh lagi meletakkan harapan kepada ketiga-tiga parti tersebut sebagai pakatan alternatif yang kononnya dapat mentadbir dan memerintah dengan lebih baik dari kerajaan yang sedia ada hari ini.

“Kalau dulu, mereka bolehlah memberikan harapan kepada rakyat, kononnya mereka adalah parti alternatif yang dapat mentadbir negara dengan lebih baik. Tetapi hari ini jelas terbukti bahawa ketiga-tiga parti ini langsung tidak ada kewibawaan dan kemampuan untuk mentadbir sebuah negeri sekali pun.

“Hari ini apabila sudah diberi peluang memerintah, maka barulah  pecah tembelang pembohongan mereka yang kononnya mendakwa perjuangan ketiga-tiga parti itu adalah untuk kebajikan rakyat,  sedangkan hakikatnya perjuangan mereka hanyalah untuk mengenyangkan perut mereka sendiri dan untuk kroni-kroni mereka sahaja.

“Jadi saya menyeru kepada rakyat agar sedar dan lihat akan hakikat ini dan jangan lagi terpedaya dengan janji dan kata-kata manis mereka. Sedar atau tidak,  rakyat sebenarnya telah mereka jadikan sebagai alatan atau pekakas untuk kepentingan politik peribadi kepartian dan juga politik peribadi pemimpin-pemimpin mereka saja,” ujarnya.-MediaUMNO -- http://www.umno-online.my/?p=110061
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger