Home » » Pecah rumah, kereta dilarikan

Pecah rumah, kereta dilarikan

Written By Berita Setiap Hari on Saturday 30 August 2014 | 00:42


KAMPUNG RAJA - Rumah seorang kakitangan awam di Kampung Gong Kepas Dalam dekat sini bukan sahaja dipecah masuk, malah sebuah kereta Toyota Vios milik mangsa turut dilarikan penjenayah terbabit dalam kejadian kelmarin.
(Gambar Hiasan)
Kejadian disedari mangsa yang berusia 50 tahun selepas pulang ke rumah kira-kira jam 2 petang apabila mendapati pintu pagar hadapan rumahnya ada kesan dicungkil.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa meninggalkan rumahnya pada jam 7 pagi hari sama dalam keadaan baik dan semua pintu berkunci.

Menurutnya, sebaik pulang ke rumah petang kelmarin, mangsa, seorang pembantu tadbir mendapati pintu pagar depan ada kesan dicungkil manakala pintu gelongsor terbuka.

“Setelah masuk ke dalam rumah, mangsa dapati dua buah televisyen, sebuah komputer riba dan sebuah beg mengandungi kunci semua pintu dan kunci semua kenderaan telah tiada, termasuk kereta Toyota Vios berwarna putih milik mangsa,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja dan polis telah ke tempat kejadian untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi motokar dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan suspek.

Sementara itu Noorzainya memberitahu, terdapat beberapa kes kejadian pecah rumah dan larikan kenderaan berlaku di daerah ini pada bulan ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak meninggalkan kunci kenderaan di rumah ketika penghuni tidak ada di rumah, selain memaklumkan kepada jiran.

“Tindakan meninggalkan kereta dan kunci bersama di rumah perlu dielakkan untuk menggelakkan kejadian seumpama ini terus berlaku.

“Jiran pula perlu peka jika melihat orang tidak dikenali berada di kawasan rumah jiran sebelah mereka kerana tindakan pantas akan membantu polis bertindak segera,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger