Home » » Pejabat Guan Eng Kecam Nasrudin Hassan

Pejabat Guan Eng Kecam Nasrudin Hassan

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday 6 August 2014 | 11:07


KUALA LUMPUR – Ibarat retak menanti belah, nampak gaya kerjasama pakatan pembangkang yang terbentuk di antara PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sejak beberapa pilihan raya umum yang lalu semakin lemah dan rapuh.

Semuanya gara-gara keputusan PKR Selangor mahu melantik Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

DAP menyokong langkah itu bagaimanapun PAS membantah keputusan berkenaan menyebabkan kedua-dua parti tersebut kini saling berbalah, kutuk-mengutuk dan memburuk-burukkan sesama sendiri.

Perbalahan dalaman pakatan pembangkang itu bertambah `kronik’ apabila Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dalam satu kenyataan media hari ini mengecam Ahli Parlimen PAS Temerloh, Nasrudin Hassan.

DAP mendakwa Nasrudin memfitnah Lim Guan Eng berhubung isu projek terowong bawah laut di Pulau Pinang hanya kerana tidak berpuas hati dengan pendirian DAP berhubung isu pertukaran Menteri Besar Selangor tersebut.

Pegawai Khas Guan Eng, Nor Diana Mohd. Zabidi mendakwa, Nasrudin menggunakan taktik kotor UMNO untuk membuat fitnah-fitnah jahat ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang hari ini.



“Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang terkejut dengan serangan tanpa provokasi Ahli Parlimen PAS Temerloh ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Ketua Menteri akan menjawab tuduhan tanpa asas tersebut dalam satu sidang akhbar esok pada pukul 12 tengahari di Pejabat Ketua Menteri, Tingkat 28, Komtar, Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Nasruddin sebelum ini dilaporkan berkata, beliau hairan kerana Tan Sri Khalid Ibrahim “dibantai teruk” berhubung projek lebuh raya Kidex, tidak seperti reaksi ke atas projek terowong bawah laut di Pulau Pinang.

Sedangkan, projek terowong berjumlah RM4.63 bilion di negeri dipimpin DAP itu dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan dianugerahkan kepada pemaju, Construction Zenith BUCG Sdn Bhd secara rundingan terus.

“Tindakan Guan Eng ini tidak langsung di kecam oleh pimpinan pakatan seperti mana Abdul Khalid dikecam dan didesak meletakkan jawatan,” kata Nasruddin.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger