Saturday, 9 August 2014
Pemuda OKU lembam lemas
BESUT- Keengganan seorang pemuda OKU mendengar nasihat beberapa remaja agar tidak mandi di Sungai Tiang Rebau, Kampung Kerandang, di sini, berakhir tragedi apabila dia ditemui mati di sungai berkenaan, petang kelmarin.
Mangsa, Muhammad Hisyam Abdullah, 20, yang mengalami masalah lembam, lemas setelah terjun ke dalam sungai dipercayai selepas teruja melihat empat remaja sedang mandi-manda, kira-kira jam 2.30 petang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, sebelum itu empat remaja berusia 15 tahun telah menasihati mangsa supaya tidak turun mandi di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun mangsa yang tinggal di kampung sama tidak mengendahkan nasihat tersebut sebaliknya berjalan melalui titi kemudian terjun ke dalam sungai.
“Disebabkan air sungai dalam, mangsa lemas dan kumpulan remaja tersebut berusaha menyelamatkan mangsa dengan menarik tangannya tetapi gagal, mangsa kemudiannya tenggelam di dalam lubuk itu,” katanya.
Noorzainy berkata, selepas mangsa hilang, gerakan mencari dilakukan pasukan bomba dan penyelamat, JPAM Besut, polis dan penduduk kampung.
Menurutnya, mayat mangsa ditemui bapa saudaranya bersama anggota mencari dan menyelamat kira-kira tiga jam kemudian di sekitar tempat dia mula tenggelam.
“Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Besut untuk bedah siasat dan hasil laporan mendapati mangsa meninggal akibat lemas.
“Kematian mangsa tidak ada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sementara itu, datuk saudara mangsa, Wan Sidek Wan Hassan, 70, ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Besut malam kelmarin berkata, cucunya yang aktif itu merupakan anak tunggal.
--sinar