Home » » Rugi RM2,000 disamun 'pelanggan'

Rugi RM2,000 disamun 'pelanggan'

Written By Berita Setiap Hari on Saturday 9 August 2014 | 08:35


SETIU - Seorang peniaga kedai runcit kerugian lebih RM2,000 selepas disamun dua lelaki bersenjatakan sebilah pisau, yang berpura-pura sebagai pelanggan dalam kejadian di sebuah kedai di Kampung Guntung Luar, di sini, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 petang ketika wanita berusia 27 tahun itu berada di dalam kedai.

Menurut sumber, suspek berpura-pura memilih barangan sebaik masuk ke dalam kedai berkenaan, sebelum memanggil mangsa kononnya untuk membuat pembayaran.

Kata sumber, mangsa yang tidak mengesyaki niat jahat suspek, kemudiannya masuk ke dalam kaunter sambil diekori seorang lagi suspek.

“Suspek kemudian mengacukan sebilah pisau di pinggang kiri mangsa sebelum mengarahkan mangsa menyerahkan barangan dan wang yang ada.

"Mangsa yang ketakutan, tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya melihat suspek mengambil barangan dan wang di dalam kaunter, serta seutas rantai tangan emas miliknya.

"Dua suspek itu kemudian meletakkan semua barangan ke dalam plastik sampah biru sebelum keluar melalui belakang kedai," katanya.

Menurut sumber lagi, suspek dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta berikutan mangsa terdengar bunyi enjin berlalu dari situ.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa kerugian lebih RM2,000 apabila seutas rantai tangan emas, wang tunai, pelbagai jenis rokok, kad tambah nilai dan sebuah telefon bimbit dilarikan suspek,” katanya.

Mangsa yang turut mengalami calar di lengan kiri, kemudian membuat laporan di Balai Polis Permaisuri untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger