Home »
Kemalangan
» Anggota bomba parah dalam nahas
Anggota bomba parah dalam nahas
Written By Berita Setiap Hari on Saturday, 6 September 2014 | 00:44
JERTIH - Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi cedera parah selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta dalam kejadian dekat simpang tiga Kampung Gong Nering, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa merupakan anggota bomba yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Hasnizan Ismail, 33, baru pulang membaik pulih motosikalnya di sebuah bengkel di bandar Jertih.
Dia yang menunggang motosikal seorang diri dari Jertih ke arah Kuala Terengganu dipercayai merempuh sebuah kereta Proton Saga Iswara dipandu seorang warga emas berusia 70-an yang keluar simpang di tempat kejadian untuk menghala ke arah Jertih.
Kereta tersebut dikatakan berhenti di tengah laluan sebaik keluar dari simpang dipercayai terkejut melihat motosikal dipandu mangsa telah dekat.
Hasnizan yang gagal mengelak terus merempuh bahagian sebelah kanan kereta tersebut dan melambung beberapa meter ke hadapan.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan kemudiannya dikejarkan ke Hospital Besut oleh ambulan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Besut yang bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.
Bagaimanapun, pemandu dan dua penumpang kereta yang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Mak Sara tidak mengalami kecederaan.
Sementara itu, isteri Hasnizan, Mamie Suhana Mohd Noor, 31, berkata, dia amat terkejut apabila menerima panggilan daripada jiran memberitahu suaminya kemalangan sebelum bergegas ke Hospital Besut.
“Suami saya tidak bertugas kelmarin dan sebelum kejadian dia baru selesai servis motosikalnya di Jertih dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Batang Gergaji dekat Jabi kira-kira lapan kilometer dari situ,” katanya.
Mamie Suhana berkata, suami telah dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan susulan.
“Keadaannya stabil dan dia sedar walaupun mengalami patah paha kanan, lebam pada hati, retak tulang pipi dan tulang geraham lari,” katanya.
---sinar
Share this article :
Labels:
Kemalangan