Home » » Tuan Ibrahim minta PKR dan DAP tak campur urusan PAS

Tuan Ibrahim minta PKR dan DAP tak campur urusan PAS

Written By Berita Setiap Hari on Saturday 6 September 2014 | 00:36


SHAH ALAM: Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mengingatkan PKR dan DAP agar tidak campuri urusan parti lain, termasuk parti Islam itu.

Menurut Tuan Ibrahim, krisis menteri besar Selangor menyaksikan PR banyak mencampuri urusan dalaman PAS.

"Saya suka ingatkan kepada semua parti dalam Pakatan Rakyat agar kita tidak mencampuri sangat urusan parti lain dan jangan melampaui sempadan parti," kata Tuan Ibrahim dipetik Harakahdaily.

"Memang ada benda yang kita bersetuju dan ada benda kita tidak setuju. Itu hak parti masing-masing dan kita perlu hormatinya."

Menurut Tuan Ibrahim, apabila DAP tidak bersetuju dengan niat PAS melaksanakan hudud, parti Islam itu menghormati perbezaan pendapat sesama parti PR.

"PAS menghormati pendirian mereka (DAP) dan kita tidak mengkritik mereka," katanya kepada portal berkenaan.

Naib presiden PAS itu mengulas beberapa pimpinan PKR dan DAP yang seolah-olah tidak menghormati perbezaan pendapat berkenaan dengan calon pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor yang baru.

Hari ini, Mohamad Sabu dilaporkan berkata PAS Pusat tetap dengan keputusan mesyuarat 17 Ogos mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar Selangor.

Timbalan Presiden PAS itu berkata perkembangan terkini dilaporkan media mengatakan PAS tidak menamakan kedua-dua Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) PKR itu dan menghantar nama seorang lagi Adun mereka berada di luar pengetahuannya dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat parti.

"Laporan tentang kenyataan itu juga menyebut Setiausaha Agung (Datuk Mustafa Ali) mengakui PAS menyenaraikan salah seorang exco PAS sebagai calon menteri besar.

"Kami, AJK PAS Pusat tidak tahu menahu akan nama baru ini kerana ia tidak diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebagai badan eksekutif yang mengendalikan urusan harian pentadbiran dan strategi parti," kata Mohamad.

Mengulas mengenai perkembangan semasa dalam isu menteri besar Selangor, Tuan Ibrahim menasihatkan seluruh ahli PAS agar bertenang dan menyerahkan kepada kepimpinan parti.

"Saya mengambil sikap kalau kita tidak tahu, tidak payah cerita kepada orang lain yang kita tidak tahu," katanya seperti dilapor Harakahdaily.
--sumber 

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger