Beri peluang calon Pas bertanding
Written By Berita Setiap Hari on Friday, 5 September 2014 | 21:15
PENGKALAN KUBOR - Penyokong Pas mendesak pimpinan PR supaya memberi laluan kepada Pas meletakkan calonnya bertanding pada PRK Dun Pengkalan Kubor dalam misi menawan kubu BN itu.
Bagi mereka, hanya calon Pas yang mampu merampas kerusi Dun berkenaan berikutan kemerosotan PKR yang kalah dua penggal berturut-turut pada PRU 2008 dan 2013.
Wan Abdullah Wan Ahmad, 67, berkata, bagi peluang kepada calon Pas untuk bertanding kali ini kerana hanya calon Pas yang berwibawa menawan kubu BN di Dun Pengkalan Kubor.
“Jika calon PKR diletakkan di kerusi Dun Pengkalan Kubor ini, saya tidak akan memberi sokongan,” katanya.
Bagi Rozali Mohamad, 61, kerusi Dun itu wajar diberikan kepada Pas berikutan kekalahan dua penggal PKR di Dun ini.
Menurutnya, PKR hanya mahu menjadi calon sedangkan selama ini yang bekerja keras di Dun Pengkalan Kubor hanya jentera Pas.
“Kami akan memberi sokongan padu kepada Pas dalam misi menawan Dun Pengkalan Kubor,” katanya.
Rashid Isa, 42 , berkata, dia menyokong sepenuhnya jika calon Pas yang akan bertanding pada PRK kali ini kerana kehendak peringkat akar umbi mahukan calon Pas.
Menurutnya, calon terbaik yang layak bertanding kali ini adalah Datuk Kamaruddin Jaafar selaku Ahli Parlimen Tumpat sekarang.
“Berlaku perebutan kerusi Dun Pengkalan Kubor antara Pas dan PKR, dan calon yang terbaik bertanding pada PRK ini adalah Datuk Kamaruddin Jaafar. Ini kehendak akar umbi di sini,” katanya.
Bagi Naim Ibrahim, 48, berkata, untuk menawan kubu BN itu, perlu ambil kira faktor potensi menang dalam meletakkan calon bertanding.
“Sudah tentu calon Pas berpotensi menang kerana penyokong Pas lebih ramai jika dibandingkan dengan penyokong PKR.
“Lagi pun calon PKR ini hanya timbul masa pilihan raya sahaja dan selepas itu yang membela nasib rakyat di Dun Pengkalan Kubor ini diserahkan kepada Pas,” katanya.
Bagi Muzaying Mamat, lebih baik calon Pas yang bertanding di sini kerana ada ura-ura pengundi luar tidak akan pulang mengundi jika calon PKR yang diletakkan untuk melawan calon BN nanti.
“Saya khuatir ura-ura ini boleh menjejaskan undi pada PR nanti, lebih baik meletakkan calon Pas kerana potensi menang itu ada dan akan mendapat sokongan pengundi luar nanti,” katanya.
Kerusi Dun Pengkalan Kubor kosong berikutan kematian penyandangnya, Noor Zahidi Omar, 57, meninggal dunia akibat kanser hati di Morden Hospital GuangZhou, China pada 20 Ogos lalu.
Pada PRU13 lalu, Allahyarham yang mewakili BN menewaskan calon PKR, Saharun Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary majoriti 1,736 undi.
Berikutan itu, PRK bagi Dun tersebut akan diadakan pada 25 September ini.
Share this article :
Labels:
Laporan Prk Pengkalan Kubur,
Politik