Home » , » Dun Pengkalan Kubor: PKR beri laluan kepada Pas

Dun Pengkalan Kubor: PKR beri laluan kepada Pas

Written By Media Baru Besut on Sunday 7 September 2014 | 17:59


KUALA LUMPUR – PKR Kelantan bersetuju memberi laluan kepada Pas bagi mengambil alih kerusi Dun Pengkalan Kubor untuk ditandingi oleh calon Pas, 25 September ini, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, hari ini.

Beliau berkata, perkara tersebut dipersetujui bersama pihak Pas Kelantan dan PKR Kelantan dalam sebuah perbincangan yang diadakan baru-baru ini.

"Pihak Pas Kelantan dan PKR Kelantan telah membuat perbincangan. Secara dasarnya mereka telah membuat pertimbangan.

"Terdahulu, calon PKR dipertandingkan bagi kerusi tersebut, namun kali ini PKR menyatakan kebersediaannya bagi meletakkan calon Pas untuk bertanding," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Pas Pusat di sini hari ini,

Bagaimanapun, segala keputusan akan ditetapkan oleh pimpinan tertinggi bagi kedua-dua parti.

Terdahulu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sebuah laporan menegaskan, parti itu akan membincangkan terlebih dahulu permintaan Dewan Muslimat Pas yang mahu kerusi Dun Pengkalan Kubor dikembalikan kepada Pas setelah dua penggal ia gagal dimenangi calon PKR.

Manakala Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu ketika merasmikan Markas Besar PRK Pas kelmarin, memberi bayangan kepada pengundi di Pengkalan Kubor bahawa parti itu bakal meletakkan calon mereka pada PRK Dun berkenaan pada 25 September ini walau tiada keputusan dimuktamadkan setakat ini.

Jelas Mustafa, pimpinan tertinggi parti akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat bagi memutuskan perkara tersebut.

"Itu tertakluk kepada keputusan yang dibuat oleh Pimpinan Tertinggi Peringkat Pusat bagi PKR, Pas dan Pakatan Rakyat.

"Insya-ALLAH, pimpinan Pas Pusat akan bertemu dengan pimpinan PKR untuk menimbang dan memutuskan perkara ini, " jelasnya.
--sinar
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger