Perkataan 'Bomba' yang digunakan mewakili abang-abang yang mempertaruhkan nyawa mereka dalam menyelamatkan mangsa kebakaran atau mungkin juga kucing tersangkut di atas pokok, dikatakan berpunca daripada perkataan 'bombeiros' dari bahasa Portugal yang membawa maksud 'pasukan pemadam.'
Bagaimanapun secara rasminya, perkataan 'bomba' datang daripada usaha menterjemahkan nama lama 'fire brigade' kepada nama dalam Bahasa Melayu. Bermula tahun 1961, dengan bantuan Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bulan Bahasa Kebangsaan, panel-panel penterjemah dipanggil untuk menterjemahkan 'fire brigade.' Sekiranya terjemahan terus dilakukan, nama yang akan digunakan adalah 'pasukan api' yang dirasakan tidak berapa sesuai.
Panel mencadangkan perkataan 'gumbat' berdasarkan sejenis alat yang digunakan pasukan 'fire brigade' namun alat tersebut hanya mampu bertindak mengepam air. Selepas itu mereka mendapati perkataan 'bombat' yang membawa maksud 'menumpukan' lebih sesuai, cuma kurang enak disebut atau didengari. Jadi panel serta mereka yang terlibat setuju untuk membuang huruf 'T' menjadikannya 'bomba.'
Bagaimanapun, yang menjadi misterinya - dikatakan penggunaan perkataan 'bomba' ini telah wujud lebih awal. Terdapat satu surat bertarikh 12 September 1922 yang ditulis oleh seseorang kepada pemerintah waktu itu, untuk memohon supaya pasukan 'bomba ayer' diletakkan di pekan Kulim, Kedah bagi mencegah kebakaran yang kerap berlaku di sana.
