Home » » Kes keganasan seksual meningkat

Kes keganasan seksual meningkat

Written By Berita Setiap Hari on Thursday 18 September 2014 | 06:16


KAMPUNG RAJA - Polis Terengganu akan menggerakkan semua Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di daerah ini untuk memberi kesedaran dan penerangan mengenai jenayah seksual kepada pelajar tingkatan satu hingga empat.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Datuk Hashim Abd Jalil berkata, kesemua PPS di semua 20 sekolah menengah di daerah ini akan diberi kursus untuk mengendalikan program percubaan yang dilaksanakan selama enam bulan sebelum dinilai.

Menurutnya, peningkatan kes keganasan seksual khususnya rogol di daerah ini termasuk sumbang mahram dianggap serius oleh pihak polis dan usaha menangani masalah itu akan dilaksanakan sebaik mungkin.

“Statistik jenayah rogol yang dicatatkan pada Januari hingga Ogos tahun lalu adalah sebanyak 12 kes manakala dalam tempoh sama tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak empat kes iaitu kepada 16 kes.

“Sehubungan itu, setiap PPS yang terdiri daripada seorang pegawai atau anggota polis yang ditetapkan di setiap sekolah akan melaksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin.

"Polis Terengganu melakukan kerjasama dengan pakar dari Universiti Malaya (UM) dalam usaha ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Besut dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Besut di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, di sini, pagi semalam.

Terdahulu, Hashim menyaksikan penyerahan tugas Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Noorzainy Mohd Noor kepada Ketua Polis Daerah Besut yang baharu, Superintendan Khaled Che Lah.

Noorzainy yang bertukar ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu memegang jawatan baharu sebagai  Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Terengganu .

Noorzainy bertugas selama lima tahun di daerah ini sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah sebelum memangku jawatan pemangku ketua pada bulan lalu berikutan Ketua Polis Daerah sebelum ini, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria dinaikkan pangkat kepada Asisten Komisioner dan bertukar ke Johor Bharu.

Sementara itu, Khaled sebelum ini bertugas sebagai Penolong Pengarah Gerakan di Bahagian  Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman selama 18 bulan.

Khaled sudah berkhidmat selama 34 tahun dalam pasukan polis dan sebahagian besar tugasnya adalah dalam Pasukan Gerakan Am (PGA) sebagai Pegawai Pemerintah di Batalion 14 PGA yang berpangkalan di Tawau, Sabah sebelum bertukar ke Bukit Aman.

Anak kelahiran Gunung Medang, Perlis itu tekad meneruskan kecemerlangan Ketua Polis Daerah terdahulu dan yakin dengan sokongan pelbagai pihak beliau dapat melaksanakan tugas sebaik mungkin selaras dengan kehendak pasukan.

“Saya memerlukan kerjasama semua pihak membabitkan pegawai, anggota, kakitangan awam dan masyarakat dalam usaha untuk membanteras jenayah di daerah ini,” katanya.
--sinar
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger