Home » » Kuala Nerus diisytihar daerah ke-8 Terengganu

Kuala Nerus diisytihar daerah ke-8 Terengganu

Written By Gaha Belako on Thursday, 18 September 2014 | 06:25


KUALA NERUS - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengisytiharkan daerah Kuala Nerus sebagai daerah kelapan dalam negeri Terengganu.

Beliau berkata langkah untuk menaik taraf Kuala Nerus sebagai sebuah daerah yang baharu adalah bertepatan kerana ia telah lengkap dengan kemudahan dan infrastruktur awam.

"Saya rasa semua sebulat suara nak, dengan sukacitanya saya (umumkan) bahawa kerajaan telah bersetuju menaik taraf Kuala Nerus sebagai sebuah daerah yang baharu.

"Maka dengan pengumuman yang amat bersejarah ini, tuan-tuan dan puan-puan di Kuala Nerus dapat dua benda iaitu dapat Hospital Pengajar UniSZA dan dapat daerah bahru," katanya sambil disambut sorakan gemuruh orang ramai yang hadir.

Najib mengumumkan perkara itu ketika berucap pada majlis pecah tanah projek pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Gong Badak di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari, Pro-Canselor UniSZA Tan Sri Dr Mohamad Yusof Mohamed Nor dan Naib Canselor UniSZA Datuk Dr Yahaya Ibrahim.

Dalam pada itu, Najib turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Terengganu atas perancangannya menerusi 'Terengganu Transformasi Baru' yang dilihat membawa lebih kemajuan kepada negeri itu.

Kuala Nerus berkeluasan 39,890 hektar dengan populasi lebih 200,000, kini pesat membangun dengan kedudukannya sebagai tapak institusi pengajian tinggi, institut kemahiran dan industri di samping banyak projek perumahan serta Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Daerah lain di Terengganu ialah Kuala Terengganu, Besut, Setiu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Sementara itu, Ahmad Razif mengucapkan ribuan terima kasih kepada perdana menteri dan kerajaan yang bersetuju menjadikan Kuala Nerus sebagai sebuah daerah.

Katanya pengumuman tersebut amat dinantikan oleh lebih 200,000 penduduk di Kuala Nerus dan sudah pastinya ia membuktikan bahawa Kuala Nerus sememangnya layak menjadi sebuah daerah baharu. - Bernama
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger