Home » » Tak sempat jual dadah

Tak sempat jual dadah

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday 18 November 2014 | 22:03


KAMPUNG RAJA - Tiga lelaki termasuk seorang pelajar yang sedang menduduki peperiksaan SPM ditahan bersama 1,002 biji pil dipercayai dadah jenis methamphetamine (pil kuda) di Seberang Jertih dekat Jertih kelmarin.

Dalam tangkapan jam 7.30 petang itu, pelajar sebuah sekolah di Gual Ipoh, Tanah Merah Kelantan berusia 17 tahun itu ditahan bersama rakannya yang juga pelajar tingkatan empat dan seorang lagi berusia 19 tahun.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Kamsani Hassan berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Besut telah menahan kesemua suspek di sebuah stesen minyak di Seberang Jertih.

Menurutnya, mereka yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dipandu suspek berusia 19 tahun berhenti di stesen minyak berkenaan dipercayai untuk menjual bekalan dadah tersebut kepada pelanggan.

“Ketika polis memperkenalkan diri, ketiga-tiga mereka cuba melarikan diri tetapi berjaya diberkas di situ, manakala pemeriksaan dalam kenderaan suspek menemui bungkusan plastik yang disorokkan di bawah kotak panel gear.

“Polis dapati di dalam bungkusan itu terdapat lima paket plastik yang mengandungi 1,002 biji pil dipercayai dadah,” katanya.

Kamsani berkata, kesemua suspek dari Tanah Merah, Kelantan itu ditahan untuk siasatan lanjut. Saringan air kencing bagaimanapun dapati mereka negatif dadah.

Polis percaya dadah tersebut untuk pasaran sekitar daerah ini dan bekalan diperoleh oleh suspek dari negara jiran.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya.

Sementara itu, dalam dua kes berasingan di daerah ini, enam lagi ditahan kerana memiliki dadah, minggu lalu.

Kes pertama membabitkan tangkapan tiga suspek termasuk seorang wanita oleh anggota BSJND di sebuah bangsal di Kampung Gong Duek, Hulu Besut kira-kira jam 3.30 petang.

Menurutnya, mereka yang ditahan adalah dua lelaki berusia 19 dan 35 tahun termasuk seorang wanita berusia 29 tahun dipercayai teman wanita kepada suspek berusia 35 tahun.

“Ketiga-tiga mereka cuba melarikan diri namun berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan dan polis merampas sebanyak 560 biji dipercayai pil kuda yang berada dalam satu beg di dalam bangsal tersebut. Saringan air kencing terhadap kesemuanya positif dadah,” katanya.

Dalam kes kedua, tiga lelaki berusia 30 hingga 35 tahun diberkas dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sebuah rumah di Kampung Gong Dasar, Jabi pada jam 11 pagi Khamis lalu.

Kamsani berkata, pemeriksaan dalam poket sehelai seluar yang berada di dalam rumah itu telah menjumpai lapan paket berisi 1,596 pil juga dipercayai dadah jenis pil kuda.

Kesemua suspek bagi dua kes ini juga ditahan reman untuk siasatan lanjut dan turut disiasat di bawah seksyen sama.
--SINAR HARIAN
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger