Home » » Lapan jam tunggu sasaran

Lapan jam tunggu sasaran

Written By Berita Setiap Hari on Thursday, 12 February 2015 | 03:28


BESUT - Kesabaran sepasukan polis menunggu selama lapan jam di sebuah rumah di Kampung Pangkalan Atap, Kuala Besut di sini, membuahkan hasil apabila berjaya memberkas 19 penagih dan pengedar dadah termasuk seorang wanita.

Dalam Ops Sarang bermula jam 5 pagi hingga 1.10 petang itu membawa kepada penangkapan suspek berusia 20 hingga 45 tahun dan seorang wanita warga asing yang datang untuk berkumpul di rumah tersebut dipercayai dijadikan sebagai sarang penagihan dadah.


Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, bertindak atas maklumat dan hasil risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah menyerbu rumah tersebut.

Menurutnya, penagih pertama yang datang ke rumah tersebut adalah pada jam 6.30 pagi dengan menaiki  motosikal dan berjaya diberkas.

“Seorang demi seorang suspek yang datang ke rumah itu ditangkap sehingga operasi ditamatkan kira-kira jam 1.10 petang hari yang sama.

“Seorang wanita warga Thailand turut ditahan dan pemeriksaan mendapati dia tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Khaled berkata, kesemua suspek tergamam dan tidak sempat melarikan diri apabila mereka diberkas sebaik tiba di kawasan rumah tersebut.

Hasil serbuan itu polis turut merampas 234 biji pil dipercayai dadah jenis methamphetamine (pil kuda) dan satu botol serbuk putih dipercayai dadah heroin.

“Daripada tangkapan tersebut lima ditahan kerana disyaki mengedar, memiliki dan menagih dadah manakala 13 lagi hanya menagih dadah selepas saringan air kencing dilakukan mendapati kesemuanya positif dadah.

“Namun, saringan air kencing terhadap suspek wanita mendapati dia negatif dadah,” katanya.

Khaled berkata, siasatan mendapati rumah tersebut baru dijadikan sarang penagihan dadah.

Beliau menegaskan Ops Sarang akan dilakukan secara berterusan dalam usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah di daerah ini.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger