Home » » Suspek pecah masuk kedai komputer diberkas

Suspek pecah masuk kedai komputer diberkas

Written By Berita Setiap Hari on Monday, 9 February 2015 | 23:25


JERTIH - Suspek yang dipercayai memecah masuk sebuah kedai komputer sebelum melarikan beberapa komputer riba dan wang tunai di bandar Jertih, di sini, pada Jumaat lalu berjaya diberkas polis tengah hari semalam.

Suspek berusia 34 tahun diberkas di hadapan rumahnya di sebuah taman perumahan di Seberang Jertih kira-kira jam 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, bertindak atas maklumat, polis telah pergi ke sebuah rumah di taman perumahan tersebut dan mendapati suspek berada di sana.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam rumah suspek menemui barang kes yang dipercayai dicuri dari kedai komputer terbabit.

“Suspek menyembunyikan barang itu di bawah meja di dalam bilik rumah berkenaan. Barang kes yang ditemui semula adalah tiga komputer riba dan satu cakera keras dipercayai dicuri oleh suspek dari premis tersebut,” katanya.

Tambahnya, suspek yang masih bujang itu ditahan untuk membantu siasatan dan dia mempunyai rekod lampau berkaitan penagihan dadah.

Saringan air kencing dapati suspek turut positif dadah jenis methamphetamine (pil kuda). Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger