Home » » Astro Bertemu "Buku Dengan Ruas": Ada Pesaing Baru, Percuma Pulak Tu!

Astro Bertemu "Buku Dengan Ruas": Ada Pesaing Baru, Percuma Pulak Tu!

Written By Berita Setiap Hari on Sunday, 8 March 2015 | 11:42


CERITA rungutan pelanggan penyedia siaran televisyen berbayar Astro bukan isu baharu, malah kisah siarannya ‘ghaib’ ketika cuaca buruk dan yuran langganan mahal seperti tiada kesudahan sejak operator penyiaran itu beroperasi pada 1996 lalu.

Baru-baru ini, sebuah portal terkenal telah menyiarkan rungutan seorang bekas pelanggannya menerusi laman sosial Facebook yang kecewa diarah memulangkan set dekoder bersama alat kawalan jauh dan kad pintar dalam masa 30 hari jika tidak mahu didenda RM500.

Luahan kecewa wanita itu selain aduan ramai pengguna lain antaranya rancangan sama disiar ulang banyak kali, program hiburan entah apa-apa, banyak iklan komersial walhal ia stesen pascabayar bulanan bahkan layanan teruk khidmat pelanggan.

Walaupun setiap tahun mencatatkan laba berbilion ringgit, Astro seolah-olah bebas buat apa sahaja ke atas lebih tiga juta pelanggan kerana masyarakat tiada pilihan khasnya jika kawasan itu tiada liputan siaran televisyen terrestrial atau free-to-air (FTA).

Tambahan pula, penyedia siaran berbayar lain iaitu HyppTv di bawah pakej Unifi TM dan operator televisyen kabel, ABNXcess tidak begitu popular di negara kita, malah ada juga yang langsung ‘tenggelam’ seperti MegaTV, FineTV dan MiTV.

Pun begitu, zaman kehebatan Astro nampaknya dijangka ‘jatuh’ apabila sudah kedengaran cakap-cakap sumber boleh dipercayai membayangkan dunia penyiaran tempatan akan kembali sengit ibarat buku bertemu ruas dalam masa terdekat.

Berita gembira itu sebenarnya bukan baharu apabila semakan menerusi arkib berita tempatan sudah pun melaporkan program pendigitalan Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjalan lancar, di sebalik ‘sifar publisiti’ macam tiada apa-apa berlaku.

Dikenali juga sebagai projek Angkasapuri Media City, tidak ramai sedar inisiatif transformasi stesen kerajaan itu akan menyebabkan sistem penerimaan siaran FTA format analog RTM terpadam secara automatik atau disebut Analogue-Switch-Off (ASO).

Seterusnya siaran RTM akan disiarkan kembali dalam format Penyiaran Televisyen Terrestrial Digital (DTTB), tetapi berita baiknya, pengguna akan dapat tambahan saluran baharu iaitu 45 saluran definisi tinggi (HD) dan 15 saluran definisi standard (SD).

Segala-galanya percuma dan ia dipancarkan terus ke rumah menerusi sambungan dekoder khas berharga RM200 yang akan dibekalkan pihak MYTV Broadcasting Sdn. Bhd., syarikat di bawah firma telekomunikasi tempatan, Kumpulan Altel Holdings.

Lagi berita gembira, dua juta isirumah miskin di seluruh negara yang setiap tahun menerima BR1M, akan menerima dekoder secara percuma dan projek akan bermula Jun depan untuk fasa pertama; dijangka selesai sepenuhnya menjelang akhir 2017.

Kumpulan penonton pertama siaran ini merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan sebelum diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Labuan seterusnya Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, kemudian Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Fasa terakhir ASO ialah Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya; sekali gus 98 peratus muka bumi Malaysia diliputi DTTB dengan jangkaan, ketika itu rakyat bakal dapat menonton 80 saluran TV dan 40 saluran radio secara digital percuma.

Sesuai dengan kecanggihan sistem baharu, penonton tidak sahaja menerima kualiti gambar dan suara dalam format digital jauh lebih baik, pelbagai ciri terkini juga diperkenal bagi memberi pengalaman menonton televisyen menjadi lebih menarik.

Antaranya adalah pengaturcaraan pelbagai saluran, panduan program elektronik dan sistem audio alih bahasa yang tiada menerusi siaran FTA analog sekali gus setanding dengan apa ditawarkan Astro sejak sekian lama, cuma kali ini ia adalah percuma.

Barang kali, tanpa disedari inilah yang cukup dibimbangi Astro kerana operator itu sudah pun nampak lawan sebenar mereka RTM secara senyap bakal menggugat dunia penyiaran tanah air dalam masa terdekat. Fikir-fikirkanlah.

Sumber: http://mynewshub.cc/2015/03/07/patutlah-servis-astro-teruk-panik-ada-lawan-baru/
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger