Home » » Suspek curi kereta rempuh pagar klinik

Suspek curi kereta rempuh pagar klinik

Written By Berita Setiap Hari on Thursday, 16 April 2015 | 19:54


BESUT - Polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes curi kereta yang dilaporkan berlaku di sekitar daerah ini dengan tertangkapnya seorang lelaki selepas dikejar pihak polis, di sini. pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, seorang suspek berusia 21 tahun ditangkap kira-kira jam 6 pagi semalam selepas kenderaan yang dinaiki suspek terbabas di Kuala Besut.
Menurutnya, sebelum itu, kira-kira jam 5.40 pagi, ketika dua anggota polis kereta peronda sedang menjalankan tugas rondaan di hadapan sebuah hotel dekat Kampung Mat Sara, Jertih, mereka telah terlihat sebuah kereta Perodua Kancil dalam keadaan penggera berbunyi dan pintu terbuka.
“Pada masa sama, anggota terbabit dapati sebuah kereta Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan berada di sebelah kereta Kancil itu. Mereka bertindak menghampiri kenderaan itu namun tiba–tiba suspek yang menaiki Myvi itu melarikan diri.
“Anggota polis dibantu kereta peronda lain mengejar kenderaan dinaiki dua suspek itu yang menghala ke arah Kuala Besut sebelum ke Semerak, Pasir Puteh Kelantan,” katanya.
Khaled berkata, sebaik tiba berdekatan Klinik Pergigian Kuala Besut, kenderaan dinaiki suspek hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar pintu pagar  hadapan klinik tersebut.
Kereta suspek mengalami kerosakan dan salah seorang suspek berjaya diberkas manakala rakannya melarikan diri.
“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan suspek menemui satu botol kecil disyaki mengandungi dadah, satu soket atau suis kereta, pelbagai bentuk kunci, sebilah pisau dan satu unit sepana kecil yang kesemuanya dirampas.
“Saringan air kencing terhadap suspek yang berasal dari Kelantan itu juga didapati positif dadah jenis morfin dan dia ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Siasatan awal juga mendapati, suspek yang ditangkap mengaku terlibat dalam beberapa kes curi kenderaan di daerah ini sebelum ini.
Rakannya yang masih bebas pula sedang diburu.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, dua awak-awak yang hilang selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Pulau Perhentian masih belum ditemui.
Usaha mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan dan dengan mendapat bantuan daripada penyelam polis marin.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger