Home » » Terengganu rancang bina LPT hingga ke Jertih

Terengganu rancang bina LPT hingga ke Jertih

Written By Berita Setiap Hari on Thursday 14 May 2015 | 05:35


KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu merancang untuk meneruskan projek Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) hingga ke Jertih, Besut, tetapi ia bergantung kepada kelulusan kerajaan persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Ir Rosli Othman berkata kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya telah melaksanakan satu kajian bagi menentukan jajaran LPT fasa tiga daripada Kampung Gemuruh ke Tumpat, Kelantan.

"Perkara itu telah dibangkitkan kerajaan negeri semasa menghadiri taklimat Dana Khas Kerjaaan Persekutuan yang telah diadakan pada 23 Mac lalu di Kementerian Kewangan," katanya ketika menjawab soalan lisan Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (BN-Kuala Besut) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Rosli berkata beberapa faktor akan diambil perhatian jika LPT fasa tiga itu disambung ke Jertih antaranya kos dan faktor melibatkan tanah kerajaan dan penduduk setempat.

Katanya turut diambil perhatian ialah impak kepada masyarakat sekitar sama ada akan memberi kesan kepada ekonomi dan pembangunan kawasan berkenaan.

Mengenai bayaran tol LPT2, beliau difahamkan ia dijangka akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.  

Beliau berkata kerajaan negeri juga sedang merancang akan menaiktaraf jalan persekutuan yang sedia ada dari Kampung Gemuruh melalui Sungai Tong,  BandarPermaisuri seterusnya ke Jertih.

"Ia memang dalam perancangan kerajaan negeri sebahagian daripada jalan yang terlibat adalah jalan pesisir pantai dari Kuala Terengganu-Setiu-Besut dan seterusnya dari Kuala Terengganu-Dungun-Kemaman," katanya.

Rosli berkata kerajaan juga akan membaiki dan menaiktaraf jalan-jalan yang mana telah disenaraikan dan Kementerian Kerja Raya telah mengangkat permohonan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK 11) yang bermula 2016-2020. - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger