Dua suspek menyamar polis ditahan samun buruh
Written By Berita Setiap Hari on Monday, 15 June 2015 | 01:16
BESUT - Dua suspek lelaki ditahan polis manakala seorang lagi masih bebas setelah menyamun dua buruh warga Bangladesh di rumah kongsi mereka di Jalan Pondok Nyamuk Jabi dekat sini, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, suspek yang berusia 20 dan 27 tahun itu ditahan semalam selepas seorang mangsa samun, warga Bangladesh berumur 26 tahun membuat laporan polis di Balai Kampung Raja pada hari kejadian.
Khaled berkata, dalam kejadian 9 malam itu, dua buruh Bangladesh yang sedang duduk berehat di rumah kongsi mereka, didatangi tiga lelaki yang mengaku sebagai anggota polis.
"Suspek telah mengambil pasport dan visa kedua-dua mangsa, beg pakaian mereka, telefon bimbit milik kedua-dua buruh berkenaan serta wang tunai sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Satria Neo berwarna putih," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, tindakan pantas polis berjaya mengesan kereta yang digunakan suspek melalui alamat yang diperoleh daripada maklumat kereta berkenaan sebelum menahan dua suspek itu dan merampas kereta suspek Satria Neo yang dipercayai digunakan dalam kes samun berkenaan.
Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan seorang lagi rakan suspek sedang diburu. - Bernama
Share this article :
Related Articles
- DUN Kelantan lulus usul gubal semula 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah terbatal
- Long Tiger dipenjara 12 bulan
- Eksekutif GLC ditangkap dakwaan rasuah projek jalur lebar
- Naib presiden Warisan jangka dituduh di Mahkamah KK hari ini
- Hukuman gantung 6 lelaki bunuh Kevin Morais kekal
- Kakak Bella direman kerana isu 'live' di TikTok
Labels:
Jenayah