Umno tidak seburuk ‘Firaun’, kata presiden PAS
Written By Berita Setiap Hari on Saturday, 6 June 2015 | 06:42
Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyelar pihak tertentu yang memandang negatif pertemuan yang diadakan PAS bersama Umno kerana katanya, pandangan serupa itu tidak menjadi pendekatan parti Islam itu.
Presiden PAS itu berkata, walaupun ada pihak yang mencemburui pertemuan di antara dua parti itu, beliau menegaskan, parti Melayu itu tidaklah seburuk Firaun yang digambarkan dalam Al-Quran.
“Malangnya ada yang cemburu. Macam isteri yang tak benarkan suaminya ke pasar, tak boleh berjumpa dengan perempuan. Asal jumpa dengan Umno tak boleh, diharamkan. Itu bukan pendekatan kita.
“Dengan bahasa yang dinasihati Allah, berhubunglah, pergi bercakap, walaupun dengan Firaun. Tak kan kita nak cakap Umno setaraf dengan Firaun yang disebut dalam Al-Quran.
"Jangan sampai begitu. Tak boleh bertindak melebihi ajaran Al-Quran. Kita menganggap kaum kita ditenggelam oleh kejahilan, yang memerlukan kita menyelamatkannya,” katanya.
Hadi berkata demikian dalam ucapan penangguhannya pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor hari ini.
Katanya, dalam menjalinkan kerjasama politik bersama Pakatan Rakyat (PR), PAS adalah parti yang berdisiplin dan beradab berbanding parti lain yang membawa pelbagai kerenah.
Katanya, senario itu terbukti apabila ada parti dalam PR yang cuba mempersoalkan pendirian PAS, malah ada yang cuba ‘mencuri’ wakil rakyat parti Islam itu.
“Kita mengamalkan tahaluf ini sejak PAS ditubuhkan. Kita menghadapi liku-liku yang mencabar, tahaluf terkini dalam sejarahnya.
“Alhamdulillah PAS menunjukkan ia parti yang berdisiplin dalam bertahaluf. PAS beradab kerana tahaluf sefahaman dalam titik persamaan.
"Masing-masing walau berbeza ideologi tidak ganggu akidah," katanya.
Sebaliknya, katanya, rakan dalam PR ada yang menyentuh perkara yang berkaitan akidah, disiplin, pelaksanaan syariat, isu kepimpinan parti.
"Ini urusan dalam PAS, kita tak kempen pemilihan parti lain, orang tolong kempen pemilihan kita,” kata Hadi.
DAP pada hujung bulan lalu berkata, ia tidak akan berhenti menyoal Hadi walaupun PAS akan melalui pemilihan, sambil menegaskan parti itu tidak pernah masuk campur pemilihan mana-mana parti politik.
Setiausaha agungnya Lim Guan Eng berkata, DAP tidak akan dibisukan oleh pemilihan PAS itu daripada memperkatakan kebenaran.
Katanya, walaupun Hadi mengumumkan beliau "masih bersama PR", pemimpin nombor satu PAS itu perlu menjawab beberapa soalan berhubung tindakannya sepanjang setahun yang lalu.
"Kenapa Hadi memungkiri komitmen PAS kepada Dasar Bersama PR dan jaminan peribadinya kepada pimpinan PR?
"Kenapa Hadi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di tengah kemelut skandal RM42 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?
"Kenapa Hadi mahu mewujudkan 'kerajaan perpaduan' bersama Umno?" soal Lim dalam kenyataannya sebelum ini. – 6 Jun, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/jangan-pandang-negatif-pertemuan-pas-umno-kata-hadi#sthash.unM850CI.BFRlxOTk.dpuf
Share this article :
Labels:
Politik