Home » » Banjir: Petani, penternak terima imbuhan

Banjir: Petani, penternak terima imbuhan

Written By Berita Setiap Hari on Monday 6 July 2015 | 22:19


BESUT - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Terengganu menerima peruntukan sebanyak RM2,173,609.23 bagi bantuan wang ihsan Tabung Bantuan Bencana Banjir Agromakanan dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Pengurus Besar LPP Negeri Terengganu, Abd Mubin Abdul Razak berkata, imbuhan itu akan disalurkan kepada 1,593 petani, penternak termasuk penternak ikan dalam sangkar yang terlibat dalam kejadian banjir pada akhir tahun lepas.

"Pengagihan imbuhan itu dibuat segera kepada mangsa yang terlibat mulai hari ini sehingga 15 Julai. Bayaran akan diuruskan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di setiap daerah yang terlibat di negeri itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui pada majlis perasmian Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini semalam.

Abd Mubin berkata sehubungan itu, PPK akan bekerjasama dengan pegawai dari Jabatan Pertanian, Perkhidmatan Veterinar dan Perikanan bagi menguruskan penyampaian imbuhan itu.

Pada banjir akhir tahun lepas, banyak kawasan pertanian dan ternakan di negeri ini musnah mengakibatkan kerugian dengan jumlah yang besar.

"Bantuan itu bukan ganti rugi, tetapi sebagai imbuhan kepada petani dan penternak yang terlibat dengan bencana alam itu," katanya. - Bernama

Site Section (2)

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger