Dugaan bertimpa buat ibu tunggal
Written By Berita Setiap Hari on Saturday, 4 July 2015 | 09:25
HULU BESUT - Nasib seorang ibu tunggal di Kampung Gong Duek di sini, bagai jatuh ditimpa tangga kerana dalam keadaan dirinya masih bersedih di atas kematian suami tercinta lapan bulan lalu, dia kini diduga lagi apabila rumahnya pula musnah terbakar petang kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 2.20 petang itu turut memusnahkan semua persiapan Hari Raya Aidilfitri untuk anak-anaknya seperti pakaian raya dan wang tunai RM800 miliknya yang
simpan untuk digunakan untuk perbelanjaan sepanjang Ramadan dan hari raya ini.
Mangsa, Ropiah Awang, 38, berkata, lebih menyentuh perasaannya apabila kesemua pakaian hari raya untuk lima anaknya berusia 4 hingga 13 tahun itu dibeli oleh arwah suaminya, Nordin Nawi ketika hayatnya lagi.
“Arwah suami saya beli baju raya Aidilfitri tahun ini untuk anak-anak sejak November tahun lalu lagi iaitu kira-kira sebulan sebelum dia meninggal.
“Biasa dia tidak beli seawal itu tetapi mungkin ALLAH sudah gerakkan hatinya untuk membeli segala persiapan untuk anaknya sebelum dia meninggal dunia tidak lama selepas itu,” katanya sayu kerana anak-anak tidak sempat beraya dengan pakaian yang dibeli arwah.
Katanya, pemergian suami pada 25 Disember tahun lalu, sangat memberi kesan kepadanya kerana suaminya meninggal dunia hanya selepas demam campak, sedangkan sebelum itu dia sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit.
Terdengar bunyi letupan kecil
Sementara itu, menceritakan mengenai kejadian kebakaran kelmarin, Ropiah berkata, sebelum kejadian dia sedang bekerja membuat juadah berbuka puasa di rumah jirannya.
Menurutnya, anak bongsunya, Muhammad Amal Nordin, 4 dan Ain Anisa Syaziral, 5, ada bersamanya manakala tiga lagi iaitu Muhammad Alif Haikal, 9, Nur Ain Syabia, 11, dan Nurul Ain Sabrina, 13, berada di dalam rumah ketika tu.
“Ketika itu saya terdengar bunyi letupan kecil seperti mercun dan sebaik saya keluar dari rumah jiran, saya dapati bahagian berhampiran dapur rumah sudah berasap.
“Saya berlari sambil menjerit agar tiga anak saya keluar dari rumah itu dan saya lega apabila mendapati mereka sudah keluar menyelamatkan diri,” katanya.
Kata Rokiah, kejadian berlaku terlalu pantas dan rumahnya yang dibina daripada kayu musnah disambar api dalam masa 10 minit sahaja.
“Semua barang di dalam rumah hangus termasuk dokumen penting dan pakaian raya anak-anak kerana api marak dengan cepat dan kami tidak mampu berbuat apa-apa.
“Kami tinggal sehelai sepinggang. Runsing saya memikirkan nasib anak-anaknya. Wang RM800 yang turut terbakar adalah wang yang dikumpul hasil mengambil upah membuat kuih termasuk wang Dana Hari Raya kerajaan negeri RM400,” katanya.
Katanya, turut musnah ialah bahan makanan yang disumbangkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) setiap bulan kepada keluarganya.
Biarpun begitu, Ropiah bersyukurkerana tiga anak yang berada di dalam rumah sempat menyelamatkan diri.
Katanya, Muhammad Alif Haikal yang terlebih dahulu menyedari kejadian itu apabila terhidu bau sesuatu terbakar sebelum memberitahu kakaknya yang sedang berehat di
bahagian dapur rumah.
Share this article :
Labels:
Semasa