Home » » Empangan Pengkalan Nangka bukti BN tunai janji

Empangan Pengkalan Nangka bukti BN tunai janji

Written By Berita Setiap Hari on Saturday 11 July 2015 | 05:29


BESUT - Pembinaan empangan Pengkalan Nangka yang kini giat dilaksanakan di sini, bukti Barisan Nasional (BN) menepati janji kepada rakyat Besut selepas BN memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut pada 2013.

Menteri Pendidikan Kedua yang juga Anggota Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh berkata, projek bernilai kira-kira RM40 juta itu merupakan projek berfaedah besar kepada para petani di kawasan Bukit Puteri yang telah memberi sokongan tanpa berbelah bahagi dalam menentukan kejayaan BN dalam PRK tersebut.

Katanya pembinaan projek tu kini sudah mencapai 40 peratus dan dijangka siap, akhir tahun hadapan.

Idris berkata empangan sepanjang 200 meter itu juga akan memberi kemudahan sebagai penghubung kerana ia juga akan dijadikan sebagai jambatan kelima menyeberangi Sungai Besut dari Kampung Baharu ke Kampung Amer di kawasan Dun Kota Putera.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika membuat lawatan singkat ke projek pembinaan empangan berkenaan yang turut disertai Adun Kawasan Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman di sini hari ini.

Idris menambah apabila siap nanti empangan tersebut akan dapat menyalurkan bekalan air ke hampir 800 hektar kawasan padi di beberapa buah kampung persekitaran mukim Bukit Puteri dalam Dun Kuala Besut.

Katanya sebelum ini terdapat kira-kira 300 pesawah yang tidak dapat mengusahakan tanaman padi di sawah mereka kerana kekurangan bekalan air di situ.

Terdahulu, Idris turut menziarahi 10 penduduk miskin termasuk mereka yang uzur di beberapa buah kampung dalam Dun Kuala Besut bagi menyampaikan sumbangan zakat dan barangan keperluan hari raya.

Beliau turut diiringi isteri Datin Seri Che Kamariah Zakaria dan ahli Wanita Umno dan Puteri Bahagian Besut. -Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger