Home » » Sondol tak henti

Sondol tak henti

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday 14 July 2015 | 16:29


Pasir Mas: Seorang warga emas maut manakala sembilan lagi cedera termasuk seorang ibu yang mengandung dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di hadapan Masjid Kampung Kasa, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1.50 petang, mangsa, Ramli Salleh, 66, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Sembilan lagi mangsa berusia antara lima dan 27 tahun hanya cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Pasir Mas, di sini.
Kemalangan membabitkan lima kenderaan iaitu kereta jenis Proton Saga, Perodua Kenari, Mitsubishi Pajero dan Perodua Viva serta sebuah motosikal jenis Honda EX5.
Pemangku Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas El Taraff Mohd Zachariah berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas Ramli yang menaiki kenderaan jenis Proton Saga dari arah Tendong, di sini, terbabas sebelum melanggar Perodua Kenari dari arah bertentangan.
Katanya, akibat pertembungan itu, kenderaan lain yang berada di belakang Proton Saga tidak sempat mengelak sebelum masing-masing turut terbabit dalam kemalangan berkenaan.
“Sejurus mendapat panggilan, lima anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati pemandu Proton Saga maut dipercayai akibat patah tulang rusuk.
“Keadaan agak sesak apabila kemalangan itu membabitkan 10 mangsa menyebabkan bomba memerlukan lebih masa untuk mengenal pasti mangsa terbabit,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat manakala sembilan mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama.
“Disebabkan mangsa terlalu ramai, tiga ambulans terpaksa digunakan untuk mengangkut mangsa ke hospital.
“Semua mangsa yang cedera dilaporkan stabil,” katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/64394#sthash.BqwOTuK8.dpuf
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger