Tidur berbantalkan ular sawa
Written By Berita Setiap Hari on Tuesday, 7 July 2015 | 08:44
PASIR MAS - Seorang suri rumah terkejut apabila melihat anak lelakinya tidur berbantalkan seekor ular sawa sepanjang 1.1 meter di Kampung Tok Uban, Chetok, di sini kelmarin.
Zawiriah Deraman, 47, berkata, kejadian jam 7 pagi itu disedarinya ketika mahu mengambil beg bateri lampu yang disorok di bawah bantal milik anaknya, Zul Fadli Arsyad, 7.
“Saya cuba kejutkan anak untuk mengambil beg di bawah bantalnya. Apabila saya mengangkat bantal kelihatan benda hitam berlingkar dan berkilat ada di bawahnya.
“Saya terus menyuruh anak bangun melarikan diri apabila menyedari itu adalah ular sawa,” katanya.
Menurutnya, disebabkan terlalu takut dia meminta bantuan daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pasir Mas untuk menangkap haiwan berbisa itu.
Katanya, pihak JPAM hanya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk membawa keluar ular sawa itu dari rumahnya.
Dia berkata, operasi menyelamat yang dilakukan JPAM Pasir Mas itu diketuai Noorashikin Haron, 28.
“Ini merupakan kejadian pertama berlaku selama saya tinggal di rumah ini
“Mungkin disebabkan cuaca hujan beberapa hari ini dan kebetulan kedudukan rumah berhampiran semak menyebabkan ular sawa tersebut memasuki rumah saya,” katanya.
Share this article :
Labels:
Semasa