Home » » Anggota polis cedera kemalangan

Anggota polis cedera kemalangan

Written By Berita Setiap Hari on Sunday 16 August 2015 | 21:59


KAMPUNG RAJA - Seorang anggota polis dari Unit Ronda Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut cedera selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di jalan Terengganu-Kelantan di Jabi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Lans Koperal Mohd Azhar Ibrahim, 38, cedera di bahagian buku lali kaki kiri selepas merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, kemalangan itu berlaku ketika mangsa bersama rakan-rakannya berkonvoi dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi dari arah Terengganu ke Besut.

Menurutnya, mangsa yang berada di lorong kanan berada di belakang sekali dan agak ketinggalan dari kumpulan konvoi.

“Apabila tiba di tempat kejadian, secara tiba-tiba kenderaan Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 60 tahun melintas dari arah kiri ke kanan jalan untuk buat pusingan U.

“Mohd Azhar dikatakan tidak sempat mengelak kerana jarak yang terlalu dekat menyebabkan berlaku kemalangan,” katanya.

Khaled berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Beliau yang turut melawat anggota terbabit di HUSM semalam mengesahkan keadaan anggota itu stabil dan tidak mengalami kecederaan serius.

“Pemandu Hilux terbabit tidak mengalami kecederaan dan kes ini disiasat oleh pegawai penyiasat Inspektor Yazid Azmi di bawah Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger