Home » » Dua peragut berputih mata

Dua peragut berputih mata

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday, 18 August 2015 | 05:36


KOTA BHARU - Dua peragut berputih mata, selepas berjaya ditahan polis tidak sampai dua jam selepas meragut beg tangan seorang wanita mengandung dalam kejadian di Kampung Seterpa, Melor di sini, hari ini.

Suspek yang cuba melarikan diri selepas meragut beg tangan mangsa, Nordiana Md Yusoff, 27, yang mengandung lima bulan, terbabas selepas tiba di selekoh di kawasan Binjai dan ditahan serta-merta oleh orang awam sebelum diserahkan kepada polis.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, Nordiana yang dalam perjalanan pulang dari membuat pemeriksaan kandungannya di Klinik Kesihatan Peringat dihampiri dua lelaki dengan motosikal dari belakang.

Motosikal terbabit secara tiba-tiba menghimpitnya yang juga menunggang motosikal dan terus mencapai beg tangan mangsa yang diletakkan dalam raga, namun mangsa tidak melepaskan penjenayah itu begitu sahaja malah turut menarik kembali beg tangannya.

Akibat tindakan mangsa itu, salah seorang suspek menendang motosikal yang ditunggang mangsa dan akibat hilang kawalan wanita itu jatuh tertiarap di atas jalan raya.

Suami mangsa, Ahmad Rahimi Mat Hussin, 31, berkata, isterinya ke klinik terbabit kira-kira jam 11 pagi dan pada kebiasaanya akan balik dalam jam 12 tengah hari.

“Namun semasa kejadian dia lambat pulang dan saya cuba menghubunginya dan turut menghantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) ke telefon bimbitnya, namun tidak berjawab.

“Risau dengan keadaan itu, saya cuba cari dia dan ada orang awam memberitahu dia (isteri) diragut berhampiran gelanggang futsal dan telah dihantar ke hospital,” katanya kepada media.

Ahmad Rahimi berkata, terkejut dengan kejadian itu dia terus ke hospital dan isterinya dirawat di wad kecemasan sebelum di hantar ke wad bersalin memandangkan dia mengalami sakit di bahagian perut akibat kejadian itu.

“Isteri saya juga turut cedera di dagu, tangan dan kaki akibat jatuh tertiarap di atas jalan raya selepas motosikalnya ditendang oleh suspek ketika meragut beg tangannya.

“Mujurlah isteri saya masih selamat, namun saya harapkan dia dalam keadaan baik dan masih menunggu laporan doktor bagi mengetahui keadaan dia dan anak dalam kandungan,”katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger