Gadis istimewa aktif menyanyi
Written By Berita Setiap Hari on Saturday, 15 August 2015 | 17:52
SUNGAI PETANI – Biarpun cacat penglihatan, namun keyakinan tinggi dalam diri seorang remaja membawa dirinya ke khalayak ramai, malah tidak kekok menghiburkan tetamu dalam majlis yang dijemput khas.
Siti Salmiah Yahya, 20, dari Kampung Pokok Tai Lama, Pendang yang dilahirkan buta sejak lahir tidak mensia-siakan hidupnya malah sempat menghabiskan pembelajaran di sekolah rendah dan menengah seperti remaja lain.
Dia yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Jabi dan Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba meneruskan pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Malik, Alor Setar sehingga tamat tingkatan lima.
“Saya gembira dapat menghiburkan tetamu apatah lagi saya gemar menyanyi dan mengaji,” katanya kepada Sinar Harian ketika selesai mendendangkan beberapa lagu versi Arab dan Melayu termasuk lagu penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza yang menerima tepukan gemuruh.
Bapanya, Yahya Senapi, 50, berkata, anak tunggal istimewa itu kini banyak memenuhi undangan persembahan sekiranya dijemput ke majlis tertentu selepas tamat persekolahan.
Malah, anaknya pernah menjadi Johan Tilawah Al-Quran kategori istimewa peringkat kebangsaan tiga tahun berturut-turut sejak 2007 yang merupakan kenangan terindah buat mereka sekeluarga.
“Sejak kecil hingga dewasa telah banyak cabaran yang dia lalui sepanjang hidup termasuk kepayahan untuk menjadikannya seperti sekarang.
“Namun, berkat kesabaran, dia kini mampu berdikari dan berani menonjolkan diri di hadapan khalayak apatah lagi menghiburkan tetamu sekiranya dijemput ke majlis tertentu,” katanya.
Yahya berkata, kecenderungan anaknya diasah sejak di bangku sekolah apabila melihat suka menyanyi, namun aktif memenuhi undangan sejak lima tahun kebelakangan ini.
"Perwatakan Siti Salmiah yang sentiasa ceria membolehkan dia sering dijemput memenuhi undangan tak kira di mana sahaja termasuk dari orang perseorangan, majlis tertentu, badan korporat dan terbaharu, program rancangan televisyen baru-baru ini," katanya.
Share this article :
Labels:
Semasa