Home » » Belasah mertua hingga cedera

Belasah mertua hingga cedera

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday 16 September 2015 | 22:13


KOTA BHARU – Seorang lelaki merayu dihukum atas kesalahan membelasah mertuanya hingga patah pergelangan tangan di mahkamah majistret, di sini, kelmarin.

Tertuduh, Sabri Mat Junus, 46, didakwa menyebabkan cedera parah kepada Khadijah Yaakob, 69, di sebuah rumah di Kampung Tanjong Mas, Batu 2½, Jalan Pengkalan Chepa, di sini, pada jam 8.30 pagi, 2 Mac 2011.

Tertuduh pada mulanya mengaku ketika tuduhan dibacakan, akan tetapi menafikan dia mencuri barangan kemas milik mertuanya itu, sebaliknya menyatakan mangsa cuba menganiaya dirinya.

“Saya tidak curi harta dia, saya tidak curi barang kemas mak mertua saya, tetapi hari ini saya nak mengaku semua. Tak apa dia tuduh saya, saya hidup atas kehendak tuhan sahaja,” katanya.

Mendengarkan penafian dan penjelasan itu, Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin terpaksa menolak pengakuan tertuduh dengan alasan beliau juga bertanggungjawab kepada Allah untuk menjatuhkan sesuatu hukuman kepada pesalah.

“Kami balik berfikirlah dahulu, saya tidak boleh hukum kalau kamu tidak mengaku tuduhan memukul mertua kamu sehingga patah tangan. Tadi kamu kata ‘tak buat’ jadi saya tidak terima pengakuan salah ini,” katanya.

Dalam kejadian itu, pengadu ternampak abang iparnya iaitu tertuduh memegang kayu. Pengadu masuk ke dalam rumah mencari ibu yang berada di dapur dan mendapati muka ibunya bengkak, hidung berdarah serta bengkak pada tangan kiri.

Pengadu bersama bapa saudara membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa dan hasil X-ray mendapati tangannya patah menyebabkan dia dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut.

Menurut mangsa, sebelum itu, menantunya iaitu tertuduh bergaduh dengan isteri (anak mangsa). Mangsa masuk campur dengan menghalau tertuduh kerana menghabiskan saham dan barang kemas anak perempuannya itu.

Tertuduh menghantar isteri dan dua anak mereka tinggal dengan mangsa sejak tiga tahun lalu. Mangsa sering meminta tertuduh supaya mencari kerja dan tidak membenarkan tertuduh bermalam di rumahnya.

Ketika anak perempuan mangsa keluar dari rumah, tertuduh bertindak mengugut untuk membunuh mangsa dan berlaku pergaduhan. Tertuduh menerkam mangsa, menyepak dan menampar hingga lemah.

Mangsa dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan pada hidung dan mulut yang berdarah serta tangannya disimen. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 11 Oktober depan.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger