Home » » JPAM Terengganu siap siaga

JPAM Terengganu siap siaga

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday 23 September 2015 | 03:37

Muhammad Pehimi dan Adam (dua kanan) ketika merasmikan jetski di Pejabat Daerah Pertahanan Awam Besut di Jertih.

JERTIH -  JPAM Terengganu melakukan persiapan rapi untuk menghadapi kemungkinan bencana banjir musim tengkujuh dengan meningkatkan latihan kemahiran hampir 3,000 sukarelawan JPAM di negeri ini.

Pengarahnya,  Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata,  JPAM  telah mengadakan pelbagai latihan sejak awal September lalu membabitkan anggota sukarela jabatan di semua daerah.

Menurutnya, kursus yang dijalankan antaranya seperti menyelamat di air, pengendalian bot dan pelbagai latihan pertolongan cemas lain.

“Kita turut galakkan JPAM daerah melakukan latihan di peringkat daerah masing-masing  seperti  latihan kemahiran menyelamat  dan memindahkan mangsa banjir  pelbagai kategori seperti warga emas, obesiti, bayi dan OKU.

“JPAM  di setiap daerah juga turut diminta mengemas kini senarai pusat pemindahan di daerah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Jet Ski dan treler kepada JPAM Besut di Pejabat Daerah Pertahanan Awam Besut di bandar Jertih yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri merangkap Adun Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof.

Adam berkata lagi, sekiranya kejadian banjir besar atau luar biasa berlaku di negeri ini, pihaknya akan mengikut prosedur standard operasi (SOP) iaitu akan memohon bantuan daripada JPAM negeri berdekatan.

Sementara itu menyentuh mengenai penyerahan jet ski kepada JPAM Besut, Adam berkata, Besut satu-satunya di negeri ini  yang menerima kemudahan itu daripada Ibu Pejabat  JPAM bagi kegunaan menyelamat di pantai.

Menurutnya, operasi bot tersebut lebih kepada peranan di pantai iaitu untuk anggota JPAM yang bertugas di menara penyelamat di pantai Bukit Keluang.

“Jet ski amat diperlukan di situ khususnya untuk tugas menyelamat sekiranya ada kejadian pengunjung  yang lemas memandangkan keadaan ombak di situ menyukarkan anggota untuk berenang atau menggunakan bot untuk melaksana tugas menyelamat,” katanya.

Manakala Muhammad Pehimi memuji prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh JPAM Besut dan keseluruhan JPAM di negeri ini.

Menurutnya,  JPAM dekat dengan hati masyarakat apabila sebarang kes termasuk kemalangan atau menangkap haiwan liar, pasukan itu menjadi pilihan utama untuk diminta bantuan.

“Komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh anggota JPAM dalam menghulurkan bantuan amat dihargai masyarakat,” katanya dan menyifatkan penyerahan jet ski akan memantapkan lagi tugas dan peranan JPAM di daerah ini.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger