Home » » Jurukimpal maut langgar kuda

Jurukimpal maut langgar kuda

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday 29 September 2015 | 17:04


JERTIH – Hajat seorang juru kimpal keluar minum bersama rakannya di bandar Jertih, di sini, tidak kesampaian apabila dia maut selepas motosikal ditungganginya melanggar seekor kuda, semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah memberitahu, mangsa, Mohamed Dom Ab Ghani, 24, maut di tempat kejadian dalam kejadian pada kira-kira jam 1.20 pagi, di kilometer (km) 100 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, dekat Kampung Batang Gergaji, dekat Jabi, di sini.

Menurutnya, mangsa yang tinggal di Felda Selasih, di sini, menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z berseorangan ketika kejadian dan telah berjanji untuk keluar minum bersama rakannya.

"Mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu dan melanggar seekor kuda yang melintas secara tiba-tiba dari sebelah kiri jalan.

"Dia dipercayai tidak dapat melihat haiwan terbabit dan kerana jarak terlalu dekat, mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kuda berkenaan," katanya.

Khaled berkata, akibat pelanggaran, mangsa tercampak ke atas jalan raya dan maut di tempat kejadian, manakala kuda terbabit turut mati.

Tambahnya, bahagian depan motosikal ditunggangi mangsa remuk teruk akibat kejadian berkenaan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat.

"Kuda terbabit dikatakan telah dilepaskan oleh pemiliknya yang tinggal di sekitar kampung berkenaan. Ini merupakan kejadian pertama berlaku di daerah ini dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

"Sehubungan itu, saya minta pemilik haiwan ternakan memastikan haiwan peliharaan tidak lepas bebas. Tindakan melepaskan haiwan ternakan, khususnya kuda, boleh membahayakan pengguna jalan raya," katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger