Home » » Pelajar hilang ditemui bawah jagaan JKM

Pelajar hilang ditemui bawah jagaan JKM

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday, 2 September 2015 | 21:33


JERTIH - Pelajar tingkatan satu, Muhammad Danial Zaidi, 13, yang dilaporkan keluar rumah dan tidak dapat dikesan sejak 23 Julai lalu, sudah berjaya ditemui pada Selasa minggu lepas.

Ibunya, Rosnani Mat Ali, 38, berkata, dia dihubungi  pegawai JKM memaklumkan anaknya itu telah ditemui dan berada dalam jagaan jabatan itu.

Menurutnya, dia diberitahu Muhammad Danial diserahkan oleh seseorang  dari Kampung Telaga Papan, Setiu kepada JKM  sehari selepas Sinar Harian menyiarkan kisah kehilangan pelajar itu kali kedua pada 24 Ogos lalu.

“Saya tak tahu siapa individu terbabit yang ‘simpan’ anak saya sebelum serahkan kepada JKM sedangkan selama  tempoh itu  saya dan keluarga setiap hari bimbang dan risau keadaan dia,” katanya yang menetap di Kampung Pulau Berangan dekat sini.

Rosnani berkata, bagaimanapun dia sekeluarga berasa lega dan gembira dengan penemuan anak kedua daripada empat beradik itu  dalam keadaan selamat.

Malangnya sehingga kini dia dan keluarga masih belum dapat bertemu Muhammad Danial kerana anaknya berkeras tidak mahu pulang ke rumah dan JKM telah merujuk Muhammad Danial ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk pemeriksaan lanjut.

“Apa yang agak menyedihkan kami..Muhammad Danial berkeras tidak mahu pulang ke rumah sebaliknya mahu pulang ke rumah bapa angkatnya yang merupakan seorang guru di daerah ini.

“Pihak hospital juga menasihati kami supaya tidak datang bertemu Muhammad Danial dalam tempoh terdekat ini supaya tak beri tekanan kepada Muhammad Danial,” katanya yang sedih terhadap apa yang berlaku.

Menurutnya, dia sekeluarga hairan mengapa anaknya yang masih belajar di sebuah sekolah agama di Bukit Yong, Pasir Putih, Kelantan itu bersikap sedemikian sedangkan ahli keluarga selama ini memberi sepenuh kasih sayang kepadanya.

Sehubungan itu Rosnani dan suaminya berharap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)  dapat menjadi orang tengah dalam membantu menyelesaikan masalah ini kerana ia turut melibatkan seorang guru.

“Saya tetap tidak mengizinkan dia (Muhammad Danial) tinggal dengan bapa angkatnya yang merupakan seorang duda,” katanya.

Sebelum ini Rosnani memberitahu kelakuan anaknya jauh berubah selepas berhubung rapat dan diambil menjadi anak angkat oleh seorang penjawat awam di sini.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger