Home » » Waspada empat jenayah di masjid

Waspada empat jenayah di masjid

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday 30 September 2015 | 22:53


BESUT - Pihak polis mendedahkan empat jenis jenayah sering dilaporkan berlaku di kawasan masjid di daerah ini sejak tahun lepas, iaitu, curi tabung masjid, pecah cermin kereta, curi kenderaan membabitkan kereta dan motosikal serta curi peralatan masjid.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah memaklumkan, satu kejadian khianat direkodkan berlaku di daerah ini pada tahun lalu, iaitu kejadian baling al-Quran ke dalam tandas oleh lelaki kurang siuman di Masjid Kampung Limbongan.

Menurutnya, polis memandang serius kejadian jenayah di masjid sebagai salah satu usaha memperkasakan program 1 Masjid 1 Polis yang bermula di Besut pada beberapa tahun lalu.
"Polis berharap program 1 Masjid 1 Polis dapat membantu mengurangkan kadar jenayah di masjid dan kawasan kariah.

"Melalui program ini, seorang pegawai atau anggota dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Masjid (PPM) di setiap masjid sebagai penghubung antara polis dan jawatankuasa masjid serta kariah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan PPM Daerah Besut 2015 di Dewan Perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, semalam, yang turut dihadiri Pegawai Agama Daerah, Ahmad Azhar Harun, PPM serta 83 pengerusi jawatankuasa masjid di Besut.

Khaled menekankan bahawa, polis dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah dan semua masjid terlibat akan berusaha memperkasakan program 1 Masjid 1 Polis demi memastikan objektif menurunkan kadar indeks jenayah tercapai.

"Kita mahu mewujudkan persekitaran selamat serta meningkatkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat kepada polis, sekali gus memastikan kehadiran polis sentiasa disedari.

"Namun kita harap semua pihak melipat gandakan peranan dalam usaha membanteras jenayah di masjid memandangkan kes berkenaan menunjukkan peningkatan iaitu 34 kes direkodkan pada Januari hingga Ogos tahun ini berbanding hanya 21 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu," katanya.

Katanya, peningkatan kes berkenaan adalah sebanyak 13 kes, atau 38.2 peratus dan sehubungan itu, kerjasama semua pihak termasuk kariah masjid sangat diperlukan.

"Antara langkah dicadangkan adalah jawatankuasa masjid perlu menasihatkan kariah atau jemaah agar mengunci motosikal apabila diletakkan dalam kawasan masjid.

"Langkah lain adalah menasihatkan jemaah tidak tinggal barang berharga dalam kenderaan, memasang kamera litar tertutup (CCTV), pencahayaan sekitar masjid, kutip duit tabung setiap hari dan kunci serta simpan peralatan masjid di tempat selamat.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger