Pas-Umno bersatu, bagaimana anda tafsir?
Written By Berita Setiap Hari on Wednesday, 7 October 2015 | 10:35
SHAH ALAM – Pemimpin veteran, Tan Sri Sanusi Junid menyifatkan soal penyatuan antara Umno dengan Pas yang dibangkitkan pihak tertentu mungkin menjadi atau tidak bergantung pada tafsiran yang dibuat oleh mereka.
Namun tegasnya, apa yang penting adalah memastikan agama Islam itu menjadi payung bukannya menjadi alat kepada politik.
“Sebenarnya bergantung pada ayat mana yang anda baca...bagaimana anda tafsir. Kalau saya, saya baca ‘orang mukmin itu bersaudara. Pegang pada tali ALLAH, janganlah berpecah belah.’
“Tapi kalau nak berkelahi pun, jika anda salah ambil ayat, umpamanya ‘boleh menikah satu atau dua atau tiga ataupun empat’. Ada orang di Jawa ini, dia campur sebab dalam bahawa Arab ‘wau’ itu (maksudnya) ‘dan’. Dia pun campur satu dan dua dan tiga dan empat. Dia menikah 10.
“Jadi, bergantung pada tafsir, yang pentingnya, agama itu perlu menjadi payung kepada politik jangan agama jadi alat kepada politik,” katanya ketika menjawab soalan moderator, Dr Maszlee Malik pada program Bicara Minda & Sesi Dialog, ‘Perpaduan: Mengapa kita masih keliru?’, di sini, semalam.
Sebelum itu, beliau ada menyebut soal penyatuan antara Melayu hanya berlaku sekiranya Melayu dihina oleh mana-mana pihak dan bukan kerana kuat agama malah perkara itu telah berlaku sejak sebelum merdeka.
“Dulu, yang bawa masuk orang putih ke negara kita adalah orang Melayu. Kita bersatu pabila dia (penjajah) sentuh air muka kita, raja, ulama, cikgu, semua bersatu. Kemudian kita berkelahi semula. Pada 13 Mei (1969), huru-hara balik, bersatu balik. Tahun 1962, Pas kata Umno kafir. 1969, Pas berkawan dengan Umno. 1974, Pas masuk BN. Sewaktu itu, Umno tidak lebih Islam pun dan Pas pun tidak lebih sayang pada Umno tapi kerana Melayu telah terhina, kita berkawan balik. Lepas kawan balik tiba-tiba di Kelantan, kerajaan isytihar darurat yang tak patut pun.
“Jadi, kita sebenarnya bersatu kerana kita dihina. Tapi sekarang ini, kita sudah ada pengalaman kalah. Melayu sekarang ini sudah tidak kisah sangat kalah. Contohnya apabila DAP menang di Pulau Pinang. Ketika itu kita lihat perdana menteri kita pergi ke Pulau Pinang, berpeluk-peluk dengan Lim Guan Eng. Ini yang kita naik geram,” katanya.
Oleh itu, katanya, perpaduan perlu dikukuhkan kembali bagi memastikan Melayu terus berkuasa.
“Sekarang ini kita makin kurang malu, faham tak? Kita dulu bersatu kerana maruah. Sekarang maruah pun kita tidak peduli dah. Sekarang kita lihat orang kita terjerit-jerit untuk mempertahankan maruah sedangkan banyak orang kita yang menjual maruah.
“Jadi, kalau kita nak pastikan (terus) berkuasa, kita kena kuatkan balik perpaduan...mesti berasaskan kebenaran. Tiada jalan lain lagi dah, jika kita tidak satukan Melayu dengan Islam, kita memang tiada masa depan,” katanya.
Tambahnya,”bagi kita Melayu, kita ada agama Islam. Jika tidak mahu menjadi alim sungguh pun, cuba-cubalah. Al-Quran kena baca, maknanya kena baca. Janganlah kita jadi ‘fashionable Muslim’ sahaja.”
Share this article :
Labels:
Politik