Polis tunggu masa dapatkan 'rahsia' murid Orang Asli mampu bertahan 48 hari
Written By Berita Setiap Hari on Saturday, 10 October 2015 | 18:04
GUA MUSANG: Pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut terhadap dua murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Pos Tohoi yang ditemui masih hidup terutamanya mengenai ‘rahsia’ mereka dapat bertahan lebih 45 hari.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, pihaknya juga mahu mengetahui tentang sebab operasi pencarian gagal pada peringkat awal, namun proses soal siasat belum dapat dilakukan sepenuhnya memandangkan keadaan murid yang ditemui itu masih lemah.
Menurutnya, dari gambaran awal yang diberikan, kedua murid berkenaan memaklumkan dapat bertahan dengan memakan rumput dan minum air sungai untuk menahan diri daripada kelaparan.
“Buat masa ini, kita nak bertanya banyak pun tak boleh sebab mereka dalam keadaan tidak bermaya dan nanti terganggu pula fikiran dan emosi. Kita akan tunggu lampu hijau dari pakar untuk ambil kenyataan.
"Kita kena beri masa dalam kes ini kita tolak kemungkinan yang lain seperti (terlibat dalam sindiket) jual organ dan sebagainya,” ujar Mazlan.
Sementara itu, tiga murid lain yang meninggal dunia itu dipercayai mengalami dehidrasi dan kelaparan. Siasatan awal polis juga tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam insiden hilang tersebut.
Menceritakan kembali kesukaran pasukan mencari menemui murid-murid berkenaan, Mazlan menjelaskan, pelajar berkenaan didapati bersembunyi di lokasi bergua di bawah akar yang besar berhampiran tebing sungai.
Katanya, penemuan mayat pertama pada 7 Oktober lepas disebabkan arus sungai menghanyutkan jasad berkenaan.
Penemuan rangka di atas tebing juga disebabkan dibawa arus sungai.
Walaupun pasukan mencari sudah melalui kawasan itu berdasarkan peta dan panduan, mereka gagal menemui murid berkenaan kerana bersembunyi di dalam gua berkenaan.
"Mereka terlindung oleh sungai yang jika airnya pasang akan melindungi akar berkenaan dan hanya akan kelihatan apabila airnya surut," jelasnya.
Tambahnya, pelajar berkenaan tidak menyeberangi sungai dan mereka dikatakan bersembunyi kerana ketakutan.
Share this article :
Labels:
Semasa