Home » , » 4,062 mangsa dipindah ke 52 pusat pemindahan

4,062 mangsa dipindah ke 52 pusat pemindahan

Written By Gaha Belako on Saturday, 31 December 2016 | 18:00


KUALA TERENGGANU - Jumlah mangsa banjir di enam daerah di Terengganu bertambah pagi ini kepada 4,062 mangsa berbanding 3,292 mangsa setakat pukul 10 malam tadi.

Menurut laman sesawang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, terdapat sembilan pusat pemindahan baharu dibuka yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 52 pusat pemindahan dibuka setakat pukul 8 pagi ini.

Pemangku Pengarah JKM Terengganu, Rusmi Mahmood ketika dihubungi Bernama berkata, sehingga kini sejumlah 1,244 keluarga terjejas akibat banjir yang mula melanda negeri ini awal pagi semalam.

"Hulu Terengganu terus mencatat peningkatan jumlah mangsa dengan penambahan tiga pusat pemindahan baharu menjadikan jumlah ketika ini ialah 2,268 mangsa dari 789 keluarga yang berada di 24 pusat pemindahan.

"Seterusnya diikuti daerah Kemaman (595 mangsa dari 141 keluarga), Marang (491 mangsa dari 128 keluarga),  Besut (299 mangsa dari 72 keluarga), Setiu (296 mangsa dari 87 keluarga) dan Dungun (113 mangsa dari 27 keluarga)," katanya.

Selain itu tiga sungai di Terengganu kini telah melepasi paras bahaya manakala empat sungai mencatat bacaan melebihi paras berjaga-jaga.

Menurut laman web rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu di portal publicinfobanjir.water.gov.my, tiga sungai yang melebihi paras bahaya ialah Sungai Telemong di Kuala Ping dekat Hulu Terengganu iaitu 20.59 meter berbanding paras bahaya 20.00 meter, Sungai Nerus di Kampung Langkap iaitu 21.68 meter berbanding paras bahaya 21.50 meter dan Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan iaitu 3.89 meter berbanding paras bahaya 3.00 meter.

Menurut portal itu, dua sungai di daerah Besut pula telah melebihi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Besut di Kampung La iaitu 20.38 meter berbanding paras berjaga-jaga 19.8 meter dan Sungai Besut di Jambatan Keruak iaitu 33.24 meter melebihi paras berjaga-jaga 33.00 meter.

Dua sungai lain ialah Sungai Chalok di Setiu setinggi 7.30 meter berbanding paras berjaga-jaga 7.00 meter dan Sungai Dungun di Kuala Jengah iaitu 19.74 meter berbanding paras berjaga-jaga 19.50 meter.

Bagaimanapun kesemua sungai itu kini mencatat trend penurunan kecuali Sungai Chalok di Setiu yang terus mencatat peningkatan paras air. - Bernama
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger