Home » , » Hampir 3.9j pengguna mula hadapi gangguan bekalan air

Hampir 3.9j pengguna mula hadapi gangguan bekalan air

Written By Berita Setiap Hari on Sunday 18 December 2016 | 18:34



KUALA LUMPUR - Kira-kira 3.89 juta pengguna di sekitar Lembah Klang hari ini mula menghadapi gangguan bekalan air susulan kerja penyelenggaraan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Badong, Kuala Selangor.

Gangguan itu melibatkan 707,759 akaun di 814 kawasan di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebelum ini memaklumkan kerja penyelenggaraan TNB dan henti tugas berkenaan akan dilaksanakan selama 16 jam mulai 8 pagi.

Ia sekali gus menjejaskan operasi di loji-loji rawatan air utama Sungai Selangor yang membekalkan air kepada 60 peratus pengguna di Lembah Klang.

Gangguan air dijangka berlaku sehingga ambang sambutan Krismas, 24 Disember ini.

Di sebalik kegusaran pengguna dan ketika sambutan Krismas bakal menjelma, TNB semalam menjelaskan kerja penyelenggaraan itu tidak boleh ditangguhkan lebih lama lagi.

Menurut syarikat pembekal tenaga itu, situasi peralatan di PMU berkenaan semakin meruncing dan sebarang penangguhan akan memberi kesan kepada bekalan elektrik dalam tempoh yang lama.

Ia turut berkata pemilihan tarikh henti tugas itu dibuat secara keputusan kolektif dalam mesyuarat yang diadakan bersama SPAN pada 31 Oktokber lepas yang turut dihadiri wakil sektor air antaranya Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) selain TNB.

Ia pada asalnya dijadualkan pada 27 September, kata TNB.

TNB turut menjelaskan henti tugas PMU Bukit Badong itu bagi membolehkan kerja senggaraan dan pemasangan sistem perlindungan arka dapat dibuat dengan selamat, dan demi memastikan kelangsungan bekalan air. - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger