Home » » Keluarga besar cukup terkesan

Keluarga besar cukup terkesan

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday, 20 December 2016 | 22:46


KLANG - Gangguan bekalan air yang berlaku memberi kesan kepada pengguna lebih-lebih lagi jika terdiri daripada bilangan ahli keluarga yang ramai.

Suri rumah, Eziliza Azizan, 30, yang tinggal di Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang berkata, ahli keluarganya yang terdiri daripada tujuh orang itu menyebabkan dia sekeluarga terpaksa mencatu penggunaan air.

Dia berkata, suaminya, Mohd Shukri Derah, 31, dan abang iparnya terpaksa mengehadkan penggunaan air untuk mandi ketika ingin ke tempat kerja pagi semalam.

“Mereka mandi ala kadar sahaja sebab bekalan air yang kami simpan cukup terhad.

“Mereka mandi sekadar basahkan tubuh, walaupun tidak selesa namun mereka terpaksa,” katanya.

Pada masa sama, menurutnya, tiga anaknya yang masih kecil berusia satu tahun hingga sembilan tahun juga terpaksa 'mandi kerbau'.

“Saya mandikan mereka tanpa sabun, hanya siram sekadar basahkan badan.

“Air cukup terhad, air yang ada kami sekeluarga simpan untuk kes-kes kecemasan seperti untuk membuang air kecil dan besar,” katanya.

Menurutnya, setakat jam 1 tengah hari semalam, dia mengakui belum membersihkan diri (mandi).

“Memang tak selesa namun saya terpaksa, saya harap sangat petang atau malam nanti bekalan air akan pulih.

“Tak ada bekalan elektrik kami boleh terima, tapi ini air satu keperluan asas yang cukup penting hingga saya tak boleh memasak dan basuh pakaian,” katanya.

Berikutan gangguan bekalan air itu juga, katanya, perniagaan makanan yang diusahakan secara kecil-kecilannya di rumahnya terpaksa dihentikan.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger