Mohd Zamri (dua, kanan) melihat kerosakan Perodua Axia yang dipandu suspek di IPD Besut, semalam. |
KAMPUNG RAJA - Seorang pelajar sebuah kolej swasta nekad mengejar dua lelaki bersenjata pistol mainan yang memandu sebuah kereta Perodua Axia selepas mencuri telefon bimbit miliknya sebelum suspek berjaya diberkas polis, Ahad lalu.
Dalam kejadian 6 petang itu, mangsa berusia 21 tahun bertindak mengejar suspek dengan menunggang motosikal dari Kampung Padang Luas sehingga Kampung Beris Pak Abu.
Sebelum berjaya diberkas, suspek turut melanggar dua buah motosikal dan sebuah kereta akibat terbabas ketika cuba melarikan diri ketika dikejar mangsa.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, sebelum kejadian, mangsa telah berjumpa dengan suspek atas urusan jual beli telefon bimbit berhampiran jejantas Kampung Padang Luas.
Menurutnya, seorang suspek berusia 16 tahun keluar dari Perodua Axia kononnya untuk melihat telefon tersebut lalu sementara rakannya berusia 23 tahun berada di tempat duduk memandu kereta.
“Suspek mengambil telefon daripada mangsa dan membawanya ke dalam kereta dengan alasan untuk tunjukkan kepada rakannya namun sebaik memasuki kereta, rakannya terus memecut kereta dan melarikan diri ke arah Jertih.
“Mangsa bertindak mengejar suspek dengan motosikalnya menyebabkan suspek melarikan diri melalui Seberang Jertih ke arah Kuala Besut," katanya.
Mohd Zamri berkata, ketika usaha melarikan diri itu, kedua-dua suspek mengeluarkan objek seperti pistol ke luar tingkap kereta dipercayai bertujuan menakutkan mangsa agar tidak mengejarnya.
“Namun mangsa tetap mengejar suspek dan sampai berhampiran kawasan Masjid Pangkalan Udara Gong Kedak, kereta yang dipandu suspek melanggar sebuah motosikal lalu menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan kemudian bertembung pula dengan kereta Proton Iswara dan motosikal,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini semalam.
Katanya, selepas kejadian itu suspek cuba melarikan diri namun berjaya diberkas oleh orang awam sebelum diserahkan kepada polis.
"Pemandu wanita Proton Iswara tidak mengalami kecederaan termasuk dua penunggang dan seorang pembonceng dua buah motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu.
“Hasil pemeriksaan polis menemui satu objek menyerupai pistol mainan yang dibalut dengan plastik dan pelekat warna hitam yang dipercayai digunakan untuk menakutkan mangsa, satu sarung pistol warna hitam dan sebuah telefon bimbit jenis Samsung,” katanya.