Home » , » Bunuh isteri anggota polis, lelaki ke tali gantung

Bunuh isteri anggota polis, lelaki ke tali gantung

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday 26 September 2018 | 22:58


TAIPING 27 Sept. - Seorang lelaki dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini manakala rakannya dijatuhi hukuman penjara setelah didapati bersalah membunuh isteri seorang anggota polis, tiga tahun lalu.

A. Nagarujun, 22, yang memakai baju-T berwarna coklat dan berseluar jeans biru kelihatan tenang semasa keputusan hukuman terhadapnya dibacakan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Asmadi Hussin.


Asmadi turut mengarahkan seorang lagi tertuduh yang merupakan pesalah juvana yang kini berusia 20 tahun, dipenjarakan pada satu tempoh sehingga mendapat pengampunan sultan.

Beliau membuat keputusan terhadap kedua-dua tertuduh selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Nagarujun yang ketika itu berusia 19 tahun dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun secara bersama telah melakukan pembunuhan sehingga menyebabkan kematian ke atas Izaah Abdullah, 52, di No.9, Laluan Tanjong 4, Taman Tanjong Emas di Ulu Kinta antara pukul 12.30 tengah hari sehingga 2 petang, 11 Februari 2015.

Pertuduhan tersebut dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Azrul Faidz mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Nagarujun diwakili peguam, Datuk Naran Singh manakala pesalah juvana itu pula diwakili peguam Ranjit Singh. - UTUSAN ONLINE



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/bunuh-isteri-anggota-polis-lelaki-ke-tali-gantung-1.755854#ixzz5SHMbD46h
© Utusan Melayu (M) Bhd
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger