Home » » Najib bakal berdepan beberapa lagi pertuduhan - Noor Rashid

Najib bakal berdepan beberapa lagi pertuduhan - Noor Rashid

Written By Berita Setiap Hari on Thursday 27 September 2018 | 01:58


Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan berhadapan beberapa lagi pertuduhan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata polis masih menjalankan siasatan berhubung kes 1MDB dan banyak lagi siasatan kes itu belum lengkap ketika ini serta ia mengambil sedikit masa.

"Ya memang akan ada lagi pertuduhan (di mahkamah) ke atas Datuk Seri Najib kerana banyak lagi siasatan masih dijalankan terhadap beliau termasuk siasatan menurut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (pecah amanah), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001.

"Cuma ia mungkin mengambil sedikit masa kerana seperti saya katakan sebelum ini, kes itu memerlukan siasatan yang teliti dan rapi kerana sebahagian bukti-bukti ada di luar negara dan kami perlu melalui pejabat Peguam Negara (AG) untuk mendapatkannya.

"Negara yang terlibat ialah Switzerland, Singapura, Amerika dan ada dua tiga negara lain, kami telah pun mengambil tindakan dengan negara terlibat dengan menghubungi AG mereka dan satu perbincangan telah di buat namun siasatan itu akan mengambil masa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi PDRM 2018 di Universiti Sains Malaysia (USM), di George Town hari ini.

Baru-baru ini, Najib berdepan dengan 21 pertuduhan iaitu melibatkan diri dalam pengubahan wang haram membabitkan lebih RM4.3 bilion dan empat tuduhan rasuah berjumlah RM2.3 bilion melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau.

Sementara itu, Noor Rashid berkata polis juga akan memanggil isteri bekas perdana menteri itu, Datin Seri Rosmah Mansor bagi membantu siastaan berhubung rampasan barang-barang kemas yang sebahagian miliknya, dipercayai mempunyai kaitan dengan kes 1MDB.


"Sekarang ini tengah proses mengenal pasti identiti barang-barang kemas yang dirampas itu dan pakar serta syarikat yang berkaitan sedang menjalankannya...selepas selesai semua itu polis akan memanggil Datin Seri Rosmah untuk membantu siasatan terutama bagi membuat pengesahan adakah ia (barang kemas) miliknya," katanya.

Beliau berkata polis juga tidak menolak kemungkinan untuk memanggil Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mulai semalam bagi membantu siasatan kes 1MDB, kerana dipercayai beliau juga mempunyai kaitan dengan kes itu.

"Sehingga sekarang, polis telah rakam percakapan 64 orang dan mungkin ramai lagi yang akan dipanggil. Kes 1MDB ini adalah kes yang besar dan banyak aspek perlu diteliti serta pelbagai pecahan di dalam (kes) itu polis kena siasat. Banyak kami kena siasat...bagi ruang kepada polis," katanya.

- Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger