Home » » Saya selalu pertahan tentera, veteran di Parlimen, kata Anwar

Saya selalu pertahan tentera, veteran di Parlimen, kata Anwar

Written By Berita Setiap Hari on Thursday 27 September 2018 | 23:30

KUALA LUMPUR: Calon pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dirinya mempunyai rekod yang baik dalam menyuarakan isu berkaitan tentera dan veteran, katanya sehari selepas PAS menamakan calon untuk bertanding di kerusi tersebut.

Katanya, PAS berhak bertanding dan meletakkan sesiapa sahaja sebagai calon tetapi beliau mempunyai rekod baik mempertahankan tentera dan veteran.

“Dia (calon PAS) juga dari tentera untuk menarik undi golongan tentera, tapi bagaimana ia diukur?

“Bahkan dalam rekod, saya selalu mempertahankan tentera terutamanya apabila saya membantah cadangan Datuk Seri Najib menjual tanah kem di Sungai Besi kepada Jho Low,” katanya ketika ditemui di bangunan mahkamah di sini hari ini.
Semalam, Yang Dipertua PAS Kawasan Tenggara, Johor, Leftenan Kololonel (B) Mohd Nazari Mokhtar, diumumkan sebagai calon parti itu dalam PRK Port Dickson 13 Okt depan.

Pengumuman dibuat Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man di markas PAS Bukit Tembok, Pasir Panjang di Port Dickson.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau akan terus membawa suara kelompok itu ke Parlimen supaya hak dan kepentingan mereka terus dilindungi.

“Saya juga merancang untuk turun padang dan berjumpa dengan mereka bagi menawarkan perkhidmatan saya,” katanya.

Sementara itu, apabila ditanya tentang tindakan pengundi yang memfailkan semakan kehakiman terhadap bekas Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah kerana mengosongkan kerusi tersebut, Anwar menyifatkannya sebagai usaha segelintir pihak yang ingin menghalang perjalanan politiknya.

“Dia boleh kemukakan kepada mahkamah. Ini usaha kalangan tertentu untuk halang saya.

“Saya yakin pengundi akan buat keputusan nanti,” katanya.
--fmt--

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger