Wednesday 13 March 2024

Bella Astillah fail cerai secara ekspres



 KUALA LUMPUR: Pelakon, Bella Astillah, 29, memfailkan permohonan perceraian daripada suami, Aliff Aziz, 33, di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini, kelmarin.

Sebutan kali pertama berlangsung hari ini, apabila Bella atau nama sebenar, Dayang Nabellah Awang Astillah, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi, ditemani ibu Zarinah Astillah dan adiknya, Didi Astillah.

Bagaimanapun, kelibat Aliff, 33, tidak kelihatan.

Sebaik sebutan kali pertama kes berakhir, Bella yang ditemui pemberita, memberitahu dia nekad untuk bercerai.

"Sebenarnya, saya fikir ini jalan terbaik untuk saya. Seperti mana semua tahu, kami pernah rujuk sebelum ini. Jadi, saya fikir, dengan memilih jalan masing-masing, ini mungkin yang terbaik untuk diri Aliff dan saya.

"Pada awalnya, dia bersetuju dan lagi-lagi pada Ramadan ini, saya mahu semuanya lancar... Itu sahaja," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, peguam syarie mewakili Bella, iaitu Azmi Mohd Rais berkata, Aliff tidak hadir atas urusan penggambaran dan prosiding diteruskan, bulan depan.

"Hari ini adalah sebutan pertama bagi kes tuntutan cerai dengan kebenaran mahkamah. Kami sudah failkan kes ini, kelmarin, iaitu perceraian secara ekspres sebab kami dapat berita sebelum ini Aliff bersetuju.

"Tetapi hari ini Alif cakap dia tidak bersedia kerana ada penggambaran. Jadi, saya sudah mohon tarikh sebutan seterusnya untuk menyempurnakan serahan saman secara kendiri dan berbincang untuk menyelesaikan kes secara baik," katanya.

Sejak minggu lalu, rumah tangga Bella dan Aliff, sekali lagi menjadi topik hangat apabila suaminya itu didakwa terbabit dalam kes khalwat bersama pelakon, Ruhanies, 32, di sebuah kondominium mewah di ibu negara, Jumaat lalu.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya seorang pelakon wanita, dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah, di sini.

Sumber Harian Metro dilapor berkata, tangkapan dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berdasarkan maklumat orang awam. Menurutnya, pasangan selebriti yang sedang sibuk menjalani penggambaran drama, ditahan di kediaman milik pelakon wanita berkenaan.

Rentetan insiden itu, Aliff dan Ruhainies masing-masing dilapor berjanji memberi penjelasan lanjut berhubung kontroversi terbabit. Namun, sehingga hari ini, baik Aliff mahu pun Ruhainies, masing-masing belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kontroversi tercetus.

Sebelum ini, melalui hantaran Instagram Story (IGs), Aliff atau nama sebenar, Mohammad Aliff Aziz mendakwa laporan dia ditahan anggota penguat kuasa JAWI ditokok tambah dan terlalu banyak spekulasi berbanding cerita sebenar.

Bagaimanapun, Aliff dilapor mengaku dirinya faham tanggapan yang timbul disebabkan apa yang berlaku menimbulkan syak wasangka yang boleh mendatangkan fitnah.

Aliff juga dilapor menafikan penjelasan yang bakal dibuat sebagai cuba menegakkan benang basah.

Sementara itu, Ruhainies atau nama penuh, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, dalam reaksi balas dilapor menjelaskan hubungannya dengan Aliff sekadar rakan artis dan mereka sedang menjalani penggambaran drama.

Ruhainies mendakwa berkawan dengan Aliff sejak lebih 10 tahun lalu dan mereka sedang menjalani penggambaran drama bersiri, Jerat. Ruhainies juga dilapor meminta semua pihak menghentikan spekulasi berhubung kejadian itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Bella yang turut memegang watak dalam drama Jerat, dilapor menarik diri daripada meneruskan penggambaran drama terbitan OrangeTree Production itu.

Difahamkan, keputusan itu dibuat susulan kontroversi membabitkan Aliff dan Ruhainies yang ditangkap khalwat, minggu lalu.

Bella dilapor berkata, keputusan dibuat selepas bertemu dengan penerbit drama berkenaan, iaitu Datuk Seri Jaspal.

Dalam drama itu, Bella sepatutnya memegang watak perampas suami, iaitu watak dibawa Fendy Bakry daripada kakaknya, iaitu 

karakter dijayakan Ruhainies.