Gambar Hiasan
PELABUHAN KLANG: Hampir enam juta batang rokok dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah II (Selangor) menerusi dua serbuan berasingan di sebuah gudang di Seri Kembangan serta sebuah lori di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak pada 22 dan 29 Februari lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad, berkata kesemua rokok putih yang dirampas dalam dua kes berasingan itu dianggarkan bernilai RM4.35juta (RM4,354,400) dengan duti serta cukai.
Beliau berkata, kes pertama membabitkan pemeriksaan terhadap sebuah gudang tidak berpenghuni pada 22 Februari menemui dua juta batang rokok disyaki tidak berkastam yang dianggarkan bernilai RM1.33 juta (RM1,336,000) dengan duti dan cukai.
"Kes kedua membabitkan penahanan sebuah lori yang sedang menghala ke Kuala Lumpur pada 29 Februari yang didapati membawa sejumlah 3,920,000 batang rokok yang dianggarkan berjumlah RM3 juta (RM3,018,400 dengan duti dan cukai).
"Seorang lelaki tempatan iaitu pemandu lori berkenaan yang berusia 50-an turut ditahan untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Pelabuhan Utara dekat sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sazali berkata dalam kes berasingan pada 28 dan 29 Februari lalu, JKDM turut melakukan serbuan dan pemeriksaan terhadap enam kontena berisi rokok, minuman keras, e-sisa dan bateri terpakai yang dianggarkan bernilai RM2.7 juta (RM2,703,440) termasuk duti dan cukai di Pelabuhan Barat.
"Pada 28 Februari lalu, Bahagian Penguatkuasaan menahan empat kontena yang mana selepas diimbas ia menunjukkan imej meragukan serta tidak konsisten dengan deskripsi dagangan yang diikrar iaitu 'Aluminium Flakes'
"Pemeriksaan lanjut mendapati sejumlah bateri terpakai seberat 111,500 kilogram bateri terpakai yang dianggarkan bernilai RM1.17 juta (RM1,177,440) dengan duti dan cukai dipercayai tidak mempunyai permit import," katanya.
Beliau berkata, pada 29 Februari pula, pihaknya memeriksa dua kontena yang diikrar membawa muatan 'copper alloy' sebelum menemui sejumlah rokok, minuman keras serta e-sisa.
Katanya, kesemua muatan berkenaan dianggarkan bernilai RM1.526 juta dengan duti dan cukai.
"Kesemua kes ini disiasat mengikut Akta Kastam 1967," katanya.