Home » » Langkah hapus pencen tak Madani, kata Hadi

Langkah hapus pencen tak Madani, kata Hadi

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday 6 March 2024 | 02:59

 



Abdul Hadi Awang hari ini mengkritik Putrajaya yang menggunakan slogan "Madani" namun pada masa sama merancang untuk menghapuskan sistem pencen anggota perkhidmatan awam.

Menurut ahli parlimen Marang itu, penghapusan pencen penjawat awam adalah bertentangan dengan Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW.

Presiden PAS itu mendakwa skim pencen telah diperkenalkan oleh nabi ketika baginda menjadi ketua negara Islam pertama di Madinah.

"Satu contoh yang perlu diambil perhatian: cadangan menghapuskan pencen pesara tak wajar dibangkitkan dan tak Madani," katanya.

Tambah Abdul Hadi jasa kakitangan awam perlu dinilai bukan dari segi material saja sebaliknya jasa dan khidmat mereka kepada negara selama ini.

Katannya Nabi Muhammad telah menetapkan imbuhan - yang boleh dianggap pencen - kepada penjawat awam di Madinah dan ia kemudian diteruskan selepas baginda wafat.

"Nabi ambil iktibar ini dengan mengadakan pencen kepada pesara-pesara. Setelah meninggal dunia (pencen diberikan) kepada keluarga mereka... ini iktibar yang sangat menarik," katanya.

Abdul Hadi berkata demikan semasa berucap membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong Paduka di Dewan Rakyat awal hari ini.

Menurut timbalan pengerusi PN itu, pengenalan sistem pencen pada zaman nabi berpunca daripada janji Allah akan ganjaran berterusan bagi sesiapa yang beramal walaupun selepas meninggal dunia.

Katanya, Allah berjanji bahawa sesiapa yang menyumbang untuk kesejahteraan orang lain - seperti membina jalan raya atau hospital - akan terus mendapat pahala selagi ia membawa manfaat kepada orang ramai.

Justeru, kata Abdul Hadi, nabi mengambil iktibar daripada janji tersebut dengan menetapkan pencen kepada seseorang pesara dan memanjangkannya kepada ahli keluarga mereka apabila pesara terbabit meninggal dunia.

Bagaimanapun katanya berlaku sedikit perubahan apabila Umar al-Khattab menjadi khalifah apabila berlaku perubahan masyarakat dan negara yang semakin besar.

"Zaman Umar al Khattab, diubah pentadbiran (pencen) sebab negara sudah besar, masyarakat sudah besar... (ia) disebut dengan taksimul ahtab (iaitu) mengikut gred dan kedudukan gaji, termasuklah juga persaraan, termasuklah isteri-isteri bila suami meninggal, diberi peruntukan kerana yang dinilai budi dan jasanya (penjawat awam)," katanya lagi.

Januari lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan Putrajaya sedang merancang dasar baru bagi pengambilan kakitangan awam dengan sistem jawatan tetap tidak berpencen.

Bagaimanapun di sebalik cadangan menghapuskan pencen itu, penjawat awam lantikan baru akan menikmati carumah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Cadangan baru untuk mengkaji semula skim saraan perkhidmatan awam dilaporkan pada dasarnya dipersetujui oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim namun menegaskan keputusan muktamad dibuat selepas kabinet meneliti maklum balas pelbagai pihak dan dapatan kajian mendalam termasuk membabitkan aspek Perlembagaan Persekutuan. - malaysiakini

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger