Bekas pemimpin kanan PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata enam Adun parti itu memberikan tempoh selama seminggu kepada Menteri Besar Abu Bakar Hamzah untuk menjelaskan alasan penangguhan sidang DUN yang dibuat baru-baru ini.
Mohd Shukri berkata PAS kesal apababila kerajaan negeri menangguhkan sidang berkenaan ketika “banyak isu tertunggak” yang memerlukan penjelasan.
Antaranya, kata Mohd Shukri, isu terkait pelaburan, geran tanah dan pihak berkuasa tempatan.
Malah, dia – yang sebelum ini menjadi menteri besar sebelum dijatuhkan pada Dis tahun lalu – menganggap penukaran itu sebagai “luar biasa.”
Katanya, notis berkaitan sidang DUN asalnya diterima pada 9 April lalu yang memaklumkan ia berlangsung pada 21, 22 dan 23 April ini sebelum pembatalannya diterima secara rasmi semalam.
Tiada tarikh baru ditetapkan untuk melaksanakan sidang berkenaan.
"Saya sendiri dapat tawaran menunaikan haji, jadual penerbangan ke Tanah Suci ialah pada 18 April.
“Tetapi disebabkan sidang DUN (seperti notis awal), saya memohon kepada Tabung Haji untuk tangguh penerbangan kepada 3 Mei.
"Tiba-tiba dewan pula ditangguhkan, ini sesuatu yang amat dikesali," katanya dipetik BH Online di Mata Ayer, Padang Besar, hari ini.
Sebelum ini beberapa pihak memberi bayangan – di media sosial – berkenaan penangguhan sidang tersebut ketika suasana politik di Perlis kelihatan sudah tenang.
Tiada bencana, ancaman penyakit
Sebelum ini kemelut melanda negeri itu ekoran wujud gerakan menggantikan Mohd Shukri, termasuk membabitkan tiga daripada enam Adun dari PAS, yang menandatangani perakuan berkanun hilang kepercayaan terhadap wakil rakyat kawasan Sanglang itu.
Jawatan yang kosong itu kemudian diisi Abu Bakar yang juga Pengerusi Bersatu Perlis.
Ia menyusul selepas Mohd Shukri sendiri gagal mendapat tempat sebagai Yang Dipertua PAS Arau, selain kalah dalam pemilihan anggota Jawatankuasa PAS Pusat.
Jawatan Mohd Shukri sebagai Pesuruhjaya PAS Perlis juga digantikan pada Sept tahun lalu.
Menurut Mohd Shukri penangguhan sidang DUN kali ini dianggap luar biasa kerana tiada sebarang kecemasan yang berlaku seperti bencana alam, kematian atau penularan wabak penyakit.
