Saturday, 21 December 2013
67 kampung di Beaufort dilanda banjir
BEAUFORT - Banjir yang melanda daerah Beaufort menyebabkan 67 kampung ditenggelami air setinggi dua meter berikutan hujan lebat di hulu Sungai Padas, Tenom sejak semalam.
Penolong Pegawai Daerah Beaufort Mohd Shaid Othman berkata pihaknya membuka lima pusat pemindahan yang setakat ini menempatkan 30 keluarga.
"Semalam kita hanya buka satu pusat pemindahan sementara tetapi kini ada lima sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya keadaan banjir bertambah teruk," katanya di sini hari ini.
Menurutnya beberapa jalan utama juga ditutup antaranya di Kampung Bingkul, Limbawang, Lawa, Melulugus, Mempagar, Binunuk, Gadung dan Kelabu.
Sementara itu, jurucakap Bilik Operasi Banjir Tenom berkata banjir kilat yang melanda daerah tersebut berikutan hujan lebat sejak Rabu lepas sudah pulih dan 14 pusat pemindahan ditutup hari ini.
Beliau berkata sekurang-kurangnya 1,500 penduduk dari 31 kampung di Tenom dan Kemabong terjejas antaranya Kampung Ponontomon, Enubai, Saga Laut, Pantongan Saga, Pantongan Sapong, Bangkulin Lama, Labut, Gumisi Laut, Angalor, Mamantong, Kalasasan, Batu-Batu dan Tumantalik.
Namun beliau berkata pihaknya masih membuka bilik operasi sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya banjir kembali melanda. - Bernama