Friday, 20 December 2013
Cubaan Tumpang Kebanjiran Orang Awam Sambut Tahun Baru Memalukan
KUALA LUMPUR 20 Dis – Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii menyifatkan tindakan pembangkang yang dikatakan mahu mengadakan perhimpunan pada malam tahun baru pada kali ini sebagai cubaan untuk menumpang kehadiran ribuan orang awam untuk sambutan malam tahun baru 2014.
Menurut beliau kekhuatiran pihak terbabit terhadap sambutan pada himpunan sebelum ini yang dilihat hambar serta tidak mendapat sambutan memberangsangkan menjadi pendorong terhadap tindakan pembangkang untuk memilih masa tersebut.
bersih tiga
“Jika dilihat pada himpunan-himpunan sebelum ini seperti Himpunan Blackout 505 yang tidak menepati sasaran, himpunan anak muda di hadapan parlimen dan sebagainya lagi ternyata pembangkang cuba mengambil kesempatan dari terus mendapat malu.
“Bukankah pada malam tahun baru, ramai kalangan warga kota khususnya golongan muda akan keluar bagi meraikan sambutan ambang tahun baru. Malah ada yang datang bersama keluarga dan beramai-ramai mengira detik berakhirnya tahun 2013 dengan disusuli persembahan bunga api.
“Apakah mereka mahu mengambil kesempatan dari sudut jumlah kehadiran dalam usaha menunjukkan kepada umum bahawa mereka mendapat sambutan,” ujar beliau kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Seputeh seterusnya mempersoalkan sampai bilakan emosi akan menjadi modal politik kepada pembangkang.
“Cumanya apa yang kita bimbang ialah dalam suasana masyarakat ingin menyambut tahun baru bersama kaum keluarga dan bersantai, terdapat pula kumpulan atau pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk kepentingan mereka semata-mata.
“Inilah yang khuatirkan. Bukannya apa…. soal keselamatan dan sebagainya janganlah kita ketepikan. Jangan rosakkan keharmonian sambutan tahun baru dengan pelbagai perkara yang tidak sepatutnya,“ ujar beliau. -MediaUMNO