Home » » Dua pegawai kanan syarikat Telekom Malaysia dituduh ambil rasuah RM400,000

Dua pegawai kanan syarikat Telekom Malaysia dituduh ambil rasuah RM400,000

Written By Berita Setiap Hari on Saturday 21 December 2013 | 18:57


Dua pegawai kanan anak syarikat Telekom Malaysia (TM) Berhad bakal didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kesalahan pemalsuan dokumen melibatkan penerimaan nilai rasuah lebih RM400,000, kata Datuk Mohd Jamidan Abdullah.
Pengarah Operasi Khas SPRM itu dalam satu kenyataan semalam berkata, kedua-duanya, masing-masing berjawatan Pengarah Jualan dan Pengurus Jualan dikesan menerima rasuah tersebut melalui beberapa transaksi bermula April tahun lalu.
"Siasatan SPRM melalui Bahagian Operasi Khas (BOK) bermula pertengahan tahun lalu apabila menerima maklumat berhubung wujudnya amalan penerimaan rasuah pegawai kanan di anak syarikat Telekom Malaysia Bhd (TM) berkenaan yang dikatakan terlibat menerima suapan rasuah.
"Modus operandi mereka dikesan melalui aktiviti pemalsuan dokumen yang bernilai lebih RM400,000, ia melibatkan sebuah syarikat yang menjalankan kerja pemasangan VSAT KU BAND yang dikatakan  berlaku sejak  2010 hingga 2012 lalu,” kata kenyataan itu.
Selepas disiasat, katanya, SPRM berjaya memperolehi bukti dan keterangan yang mencukupi untuk pertuduhan, masing-masing ditangkap pada April tahun lalu dan seorang lagi ditangkap baru-baru ini di pejabat SPRM setelah dipanggil untuk memberi keterangan.
"Pengarah jualannya ditangkap lebih awal iaitu sekitar April tahun lalu ketika SPRM menjalankan siasatan lanjut.
"Siasatan kemudiannya berjaya mengaitkan penglibatan beliau dalam menerima suapan rasuah lebih kurang RM260,000 melalui beberapa transaksi rasuah dalam tempoh tersebut.
"Pengurus jualannya pula didapati memalsukan dokumen dengan tujuan menipu menggunakan beberapa keping invois syarikat lain untuk mengemukakan tuntutan kepada syarikat di mana beliau bekerja merangkap anak syarikat TM Berhad tersebut," katanya.
Berikutan pemalsuan berkenaan, pengurus jualan itu menerima hasil suapan sebanyak kira-kira RM230,000 melalui beberapa transaksi wang ke dalam akaunnya.
"Beliau ditangkap beberapa hari lalu setelah dipanggil ke pejabat Bahagian Operasi Khas semasa siasatan lanjut dijalankan.
"SPRM berjaya melengkapkan siasatan dan kedua-duanya dijangka dihadapkan di mahkamah pada minggu hadapan," katanya. - 22 Disember, 2013
--themalayinside
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger